TELUK INTAN: Tiga sekawan sedang leka membungkus dadah di dalam sebuah rumah di Chenderong Balai ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan pihak polis pagi Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hasan berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam satu serbuan `Ops Tapis Bersepadu’ selepas polis mendapat maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di rumah berkenaan sejak kebelakangan ini.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat serta intipan yang dibuat, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Ahmad Saifulbahri Abd Rahman membuat serbuan ke atas rumah milik salah seorang daripada suspek di Chenderong Balai kira-kira jam 6.10 pagi.
“Hasil pemeriksaan polis ke atas salah seorang daripada tiga lelaki itu, telah menjumpai 28 paket dadah methamphetamine daripada dalam poket seluar yang dia pakai.
“Nilai dadah itu dianggarkan kira-kira RM10,000,’’ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Teluk Intan pada Rabu.
Superintenden Yahaya berkata, dengan penangkapan tiga lelaki tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah seperti pecah rumah dan curi kelapa sawit di kawasan Chenderong Balai serta Langkap.
Menurut beliau, siasatan polis mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau, namun ujian saringan menunjukkan mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.