Tapah - " Abang...saya dah bunuh mak,".
Itu adalah ayat pertama yang keluar dari mulut suspek yang dipercayai menetak ibu kandungnya sehingga mati kepada abang sulungnya pada malam kejadian Selasa.
Dalam kejadian sekitar 7 malam itu, mangsa, Low Kew@ Low Lin Kiew, 74, ditemui maut akibat ditetak di leher di rumah mereka di Kampung Baru Air Kuning, dekat sini. Abang kepada suspek, yang ingin dikenali sebagai Chan berkata tidak pernah terlintas di fikirannya adiknya boleh bertindak sekejam itu. Katanya, adiknya mengakui melakukan pembunuhan ngeri itu ketika dia bertanyakan mengenai kesan darah pada baju dan mukanya. " Sebaik sahaja saya sampai di rumah, adik saya kelihatan seperti dalam keadaan khayal dan terdapat kesan darah di bahagian baju dan mula saya menyangka hidungnya berdarah tapi dia menafikannya. " Saya macam tak percaya apabila dia sendiri memberitahu dia telah bunuh emak kami, dan pada masa itu dia seakan-akan khayal seperti di bawah pengaruh dadah,"katanya ketika ditemui pemberita pada petang Khamis. Tambahnya, suspek yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu merupakan seorang pekebun sawit dan tinggal berdua bersama ibu mereka sejak dua tahun lepas. Katanya, suspek sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur tetapi mengambil keputusan pindah ke kampung mereka di Kampung Baru Air Kuning. " Emak sering menghubungi saya sejak dua hari lepas, malah telefon minta saya segera pulang ke kampung untuk membawanya adik mendapatkan rawatan kerana sering bercakap yang bukan-bukan. "Sebab itu saya balik ke kampung semalam namun tidak sangka pula kejadian ngeri seperti ini boleh berlaku," katanya. Ketika ditemui Suara Perak di kediamannya, anak perempuannya kelihatan sugul dan termenung ketika diajukan soalan. Anak bongsu mangsa yang berusia sekitar 40-an itu berkata beliau bekerja di Kuala Lumpur dan hanya kembali ketika cuti sekolah untuk menjenguk emaknya. " Saya mendapat panggilan daripada abang memaklumkan mengenai perkara ini dan saya masih terkejut dan tidak dapat menerima insiden ini, saya masih tidak dapat menerima bahawa abang saya tergamak membunuh emak kami sendiri,"katanya sambil menitiskan air mata. Jiran, Lai Choon, 60 berkata beliau tidak begitu mengenali anak mangsa secara peribadi kerana anak lelakinya tidak pernah berbual atau bertegur sapa dengan jiran-jiran mereka sebelum ini. " Memang saya selalu nampak dia di sekitar kawasan perumahan ini, tetapi selalunya dia akan berjalan seorang diri dan merayau di kawasan sekitar malah selalu berdiam diri. " Saya pun tak pasti samada dia ada masalah mental kerana saya hanya pernah berbual dengan adik-beradiknya yang lain.
Setahu saya mangsa mempunyai masalah kesihatan di kedua-dua belah lutut dia dan perlukan seseorang untuk menjaganya,"katanya. Lai Choon berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan itu lebih daripada 40 tahun dan tidak menyangka kejadian tragis itu akan menimpa jirannya. " Anak lelakinya itu bekerja di Kuala Lumpur dan hanya balik ke sini baru-baru ini untuk menjaga emaknya, saya pun tidak mendengar sebarang pergaduhan semasa kejadian itu berlaku, tiba-tiba dapat tahu polis dah berkumpul di sini tengah malam semalam,"katanya lagi.