IPOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seharusnya bijak dalam menangani masalah peminjam mereka secara lebih sistematik dan bukannya menekan mereka dengan teknik hukuman semata-mata.
Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh berkata, pihak PTPTPN tidak wajar menyalahkan golongan peminjam secara sekaligus, sebaliknya belajar menguruskan masalah mereka yang akan menjadi pemimpin masa depan negara.
Menurut beliau, peminjam pembiayaan PTPTN bukanlah mereka yang meminjam secara harian dan mereka tidak patut dikecam dengan taktik sama yang digunakan kepada peminjam bank.
Katanya, mereka meminjam wang daripada skim kerajaan untuk melanjutkan pengajian dan bukannya untuk membeli kereta atau bermewah.
"Mereka tidak meminjam daripada bank, justeru mereka tidak wajar diisytiharkan bankrap atau disenaraihitamkan di mana-mana senarai komersial dalam sesebuah institusi kewangan," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, Sivarraajh berkata, peminjam PTPTN wajar diperingatkan secara tegas untuk menyelesaikan baki pinjaman dalam jumlah kecil, sebaik sahaja tamat pengajian.
Katanya, tindakan untuk mengisytiharkan bankrup atau disenaraihitamkan adalah tidak adil dan akan membawa impak seumur hidup dan membuatkan mereka benci pada kerajaan.
Tambahnya, kebanyakan mereka datang daripada keluarga kurang senang yang mempunyai kehidupan yang susah.
Ujarnya lagi, pinjaman berkenaan merupakan duit kutipan cukai yang seharusnya diuruskan secara bijak dan bukannya sebagai pinjaman komersial.
Menurutnya, sehingga hari ini, PTPTN telah mengumpul sejumlah RM2 billion dan dilakukan tanpa sebarang pengisytiharan bankrap manakala RM3 billion yang tertunggak boleh dikumpulkan menggunakan taktik bijak dan dengan memahami keadaan kewangan peminjam.
"Tolong jangan mendesak peminjam dengan cara begini, buat secara bijak dan lembut tetapi tegas dan tawarkan rebat sebanyak mungkin," katanya lagi.