IPOH: Mahkamah Syariah Rendah 2 Ipoh hari ini (Isnin) mengeluarkan amaran terakhir kepada bekas Speaker DUN Perak, Tan Sri Ahmad Azizuddin Zainal Abidin, 88, supaya hadir di mahkamah pada 24 Oktober ini berhubung satu penceraian dan pengesahan cerai.
Gagal hadir pada tarikh tersebut, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Plaintif yang juga bekas Pengerusi IJM Corporation Bhd.
Hakim Mohammad Azriq Abdul Rahim membuat keputusan itu setelah beliau gagal hadir untuk perbicaraan di di mahkamah sebanyak tujuh kali, termasuk hari ini.
Terdahulu peguam Mohd Fathi Mat Zin memberitahu mahkamah Ahmad Azizuddin tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana uzur.
Peguam Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili isteri Ahmad Azizuddin, Pamella Maree Regan Fox pula berhujah dokumen perubatan yang dikemukakan hanya merupakan satu manipulasi bagi Ahmad Azizuddin untuk tidak hadir di mahkamah dan ia juga merupakan satu penghinaan kepada mahkamah.
“Oleh kerana lafaz cerai itu datang dari mulut dia (Ahmad Azizuddin ) maka dia kena hadir di mahkamah untuk perbicaraan ini,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran plantif dalam perbicaraan ini amat diperlukan kerana ia melibatkan status seseorang wanita yang tergantung kedudukannya selagi tidak mendapat pengesahan penceraian dari mahkamah.
Katanya, lafaz penceraian mesti dibuat di hadapan hakim Mahkamah Syariah mengikut seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam tetapi plantiff melafazkan cerai di hadapan dua orang pegawai Hal Ehwal Agama Islam negeri Perak di rumahnya di Selangor.
“Ini sekaligus telah mencabar kedudukan dan kuasa Undang-Undang Keluarga Islam,” ujarnya.
Pada 3 Februari 2016, Ahmad Azizuddin telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Ipoh untuk pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku pada 10 Januari 2016 di Selangor.
Ahmad Azizuddin juga mendakwa penceraian telah dilafazkan di hadapan dua orang pegawai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perak di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.