top of page
muinsapidin

PPN Perak Buka Agro Bazar Sendiri

IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak telah membuka agro bazar pertama mereka sendiri yang akan membantu memasarkan produk petani dan peladang dari seluruh negeri.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, agro bazar yang terletak di Taman Anda di sini itu akan menyelaraskan pasaran produk daripada 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang kebanyakkannya merupakan hasil tani mereka sendiri.

Menurut beliau, dengan adanya agro bazar itu juga, diharapkan ia akan menggalakkan PPK dan peladang di seluruh negeri untuk berusaha dengan lebih gigih, tanpa perlu memikirkan soal pemasaran.

“Dengan adanya agro bazar yang diuruskan oleh PPN sendiri secara profesional, semua hasil pertanian boleh dikomersialkan dengan cara lebih efektif,” katanya kepada pemberita selepas majlis bacaan Yassin dan doa selamat sempena pembukaan agro bazar itu pada Isnin.

Hadir sama Pengurus Besar PPN Besar, Dzulfadli Johan dan Pengurus Bahagian Perniagaan PPN Perak, Mohd Fuad Omar.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, pusat pengumpulan dan jualan itu juga akan membantu memasarkan produk pertanian di negeri ini ke pasaran antarabangsa, khususnya di negara-negara Timur Tengah.

Beliau yakin, agro bazar itu mampu berkembang lebih jauh, lebih-lebih lagi dengan adanya hampir 100,000 ahli pertubuhan peladang di seluruh negeri, di samping pelangan biasa.

Dalam pada itu, Raja Ahmad Zainuddin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan premis jualan hasil kampung di kawasan-kawasan strategik, khususnya untuk memberi peluang pelancong membeli belah sebelum pulang ke negara masing-masing.

Beliau memberi contoh, antara kawasan yang sesuai ialah berhampiran lapangan terbang, stesen keretapi dan stesen bas.

“Dengan adanya premis yang menjual produk tempatan berhampiran tempat-tempat itu, sudah tentu akan memudahkan pelancong untuk datang membeli untuk dibawa pulang,” ujarnya.


93 views0 comments
bottom of page