top of page
muinsapidin

22,000 pengundi Pasir Salak akan berdemonstrasi jika persempadanan semula diteruskan

Parlimen Pasir Salak menolak sekeras-kerasnya usul Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan persempadanan semula kawasan pilihan raya di kawasan itu yang menyaksikan 5,000 pengudi parlimen itu dipindahkan ke Teluk Intan.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata sekiranya SPR masih berdegil dan meneruskan persempadanan semula itu, 22,000 ahli UMNO Pasir Salak akan mengadakan demonstrasi jalanan besar-besaran.

“Saya faham kerana terdapat penambahan penduduk di seluruh negara SPR terpaksa susun semula tapi kajian yang kita buat mendapati pertambahan penduduk di parlimen ini tidak mewajarkan 5,000 pengundi dikeluarkan.

“Gerak kerja kita telah buat, bukan sahaja selepas Pilihan Raya Umum (PRU) malah sejak saya jadi Ketua Bahagian UMNO 12 tahun lalu kita dah buat kerja, kalau SPR tendang pengundi ini menjejaskan kerja saya yang telah bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa Taj (TIC) ke-6 di Ipoh pada Isnin.

Beliau turut meningatkan kesemua pemimpin Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk meneliti semula usul persempadanan semula tersebut kerana ianya tidak semestinya mendatangkan keuntungan kepada mereka.

“Kita kena teliti betul-betul, setengah pemimpin UMNO seronok dapat penambahan pengundi tetapi nak saya ingatkan di sini belum tentu mereka yang dipaksa berpindah berkenaan akan megundi kita.

“Semua pihak perlu teliti semula apa kesannya kepada kita, jangan sampai persempadanan semula ini bak kata orang yang dikejar tak dapat yang digendong pula keciciran,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu pihaknya masih lagi belum menerima tuntutan daripada mana-mana mangsa yang terlibat dalam banjir kilat di beberapa buah negeri baru-baru ini.

“Setakat ini kita tak dapat lagi tuntutan sebabnya air naik sekejap sahaja tiada kerugian, tetapi bagaimanapun kita tetap juga memberi mereka bantuan.

“Bantuan wang ringgit dan barang-barang telah pun kita serahkan kepada mangsa mengikut parlimen-parlimen yang terlibat,” jelasnya.


31 views0 comments
bottom of page