GOPENG: Hampir RM100,00 berjaya dikutip pada pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2016 Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan pada Ahad.
Kerajaan negeri sendiri menyumbangkan RM75,000; Lembaga Air Perak (RM10,000); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM5,000) dan beberapa koperasi, syarikat serta individu.
Samsudin di dalam ucapannya berharap lebih banyak pihak, khususnya syarikat berkaitan kerajaan, korporat dan orang perseorangan tampil menghulurkan sumbangan kepada tabung itu untuk mencapai sasaran RM300,000.
Menurut beliau, sumbangan itu adalah tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap veteran tentera yang telah banyak berjasa kepada kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran negara.
"Tanpa keringat dan darah mereka, tidak mungkin kita dapat menikmati apa yang rasai hari ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan pelancaran kempen Tabung Pahlawan di RTC Gopeng di sini.
Hadir sama Presiden PBATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Noor dan Yang Dipertua PVATM Negeri Perak, Lt Kdr (B) Jayah Said.
Sementara itu, Laksamana (B) Mohd Anwar berharap lebih ramai veteran tentera akan menjadi ahli persatuan memudahkan lagi penjagaan kebajikan mereka.
Beliau memberitahu, daripada 337,105 veteran yang ada di negara ini, hanya 153,00 sahaja yang menjadi ahli PVATM dan Perak mempunyai ahli paling ramai iaitu 26,000.
Menurut beliau, sebagai galakan, persatuan akan menawarkan keahlian percuma kepada veteran yang mendaftar sehingga Disember tahun ini.
Katanya, persatuan sedang memperjuangkan pelbagai perkara untuk kepentingan veteran tentera, termasuk 260,000 yang tidak berpencen.
Menurutnya, antara usaha yang sedang dilakukan ialah mewujudkan rumah kasih veteran bagi menempatkan bekas-bekas tentera yang hidup sebatang kara, di samping menjaga kebajikan balu dan anak-anak yatim.