KUALA KANGSAR: Tempoh tiga hari dua malam dimanfaatkan secukupnya bagi ‘pembugaran’ emosi dan minda pelajar yang terdiri daripada 121 orang anak angkat BAIDURI, khusus untuk menghadapi peperiksaan SPM beberapa bulan sahaja lagi.
Jika tahun sebelumnya program kelolaan BAIDURI bersama Unit Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak ini dianjurkan di Pusat Kokurikulum Pulau Pangkor, kali ini ia mengambil tempat di Kem PLKN Desa Rimba, Sauk, Kuala Kangsar.
Para peserta yang sudah berkampung sejak Jumaat lalu dalam Program Pembugaran Emosi Memperkasa Minda & Restu Bonda Anak Angkat BAIDURI 2016 diberi pelbagai pengisian dan aktiviti menarik bukan sahaja dari sudut rohani bahkan turut melibatkan cabaran fizikal.
Mereka didedahkan dengan beberapa modul berbeza, sesuai dengan sasaran bagi menyediakan platform serta memastikan mereka kekal berada dalam landasan menghadapi SPM.
Menurut Penolong Pengarah Bimbingan Dan Kaunselng Unit Hal Ehwal Murid di JPN Perak, Mior Anuar Ghazali, kem sebegitu bertujuan memupuk kesedaran dalam diri pelajar tentang potensi yang terpendam sekaligus melatih mereka berani untuk memimpin.
“Makna pembugaran itu sendiri ialah memulihkan, membaiki atau memperbaharui semangat. Kita ambil dari segi pembelajaran dan semangat untuk pastikan mereka kekal fokus pada landasan yang tepat bukan sahaja untuk SPM tapi kehidupan.
“Sepanjang tiga hari ini juga kita dapat respon daripada kaunselor dan fasilitator yang ada bersama mereka, hasil daripada program ini para pelajar yang agak pasif sudah pun menunjukkan minat untuk lebih aktif dan berani bersuara, nyatakan pendapat,” katanya kepada Suara Perak.
Sementara itu, Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli berharap hubungan di antara ibu angkat dan anak-anak angkat kekal terjalin walaupun mereka sudah menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Katanya, bantuan serta dorongan BAIDURI selama ini merupakan usaha bagi memperkasakan diri pelajar yang seimbang dari aspek pelajaran dan sahsiah.
“Bagi kami sebagai ibu angkat, begitu menitikberatkan program ini kerana ia merupakan pengisian kepada program anak angkat itu sendiri, seingat saya kalau imbau balik dulu kita adakan program dermasiswa tetapi hasilnya ia tidak wujudkan hubungan yang berpanjangan di antara BAIDURI dan pelajar.
“Namun apabila program anak angkat ini dicetuskan, kami dapat rasakan hubungan yang lebih akrab sesama kita, oleh kerana kita lebih kerap berhubung dan bertanyakan khabar khususnya bagi penyelaras BAIDURI di DUN masing-masing,” kata Saripah.
Di program ini juga, ibu-ibu angkat yang terdiri daripada penyelaras BAIDURI bersama anak angkat masing-masing dalam slot Restu Bonda Anak Angkat BAIDURI.
Mereka berkumpul dan berbincang sesama sendiri bagi bertanyakan pendapat selain para ibu angkat berpeluang memberi kata-kata dorongan kepada pelajar sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.
Antara pengisian sepanjang program ini termasuk modul halatuju selepas SPM, modul kerjaya, modul bersama PLKN dan modul interaktif kumpulan.