top of page
muinsapidin

Linggah Ubati Kemurungan Saya - Datin Mastura

KUALA KANGSAR: Linggah, satu-satunya tempat yang bermain di fikiran Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid sewaktu beliau tamat tempoh edah pada 16 September lalu.

Di tanah Linggah, Sarawak itulah tempat pertama yang dikunjunginya, kerana di situlah jasad suami kesayangannya, arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ditemui dalam nahas helikopter Sebuyau pada Mei lepas.

Hasratnya cuma satu, agar beliau dapat menutup sebuah buku yang perlu disemat kemas dalam hatinya mengenai pemergian suaminya yang juga bekas ahli parlimen bandar diraja itu.

"Seingat saya, ramai di antara keluarga membantah ketika saya suarakan hasrat tersebut kerana mereka tidak ingin kemurungan saya bertambah.

"Tapi saya berkeras, saya tahu bahawa ini adalah perkara yang harus dilakukan bagi menutup lembaran sedih ini dan maju selangkah dalam hidup ini," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Mental Sedunia dan Kem Nak Sihat di SMK Bukit Merchu, di sini pada Sabtu.

Jasad Allahyarham Wan Mohammad Khairil yang terlibat dalam tragedi menyayat hati itu ditemui di sungai Batang Lupar berhampiran kawasan Lingga.

Sebaik sahaja tempoh edahnya tamat dan ketika rakyat seluruh negara meraikan Hari Malaysia iaitu pada 16 September lepas, Mastura dan empat anaknya sedang dalam perjalanan ke lokasi penemuan jasad arwah suaminya.

Mastura menceritakan, mengikut perancangan asal, arwah sepatutnya menyarungkan cincin perkahwinan yang telah ditambahbaik bersempena hari perkahwinan anak mereka.

"Bagaimanapun, hajatnya tidak kesampaian dan ketika berdiri di tepi sungai saya melihat kepada sungai dan menyarung cincin itu.

"Waktu itu juga, saya boleh rasakan kehadiran arwah suami saya di situ, begitu dekat pada saya," katanya sayu.

Seiring dengan tema kesihatan mental, tegasnya, setiap orang yang kehilangan orang tersayang mempunyai kaedah tersendiri untuk menerima hakikat dan inilah cara terbaik mengendalikannya.

Mastura turut berkongsi kisah anak bongsunya Wan Amar yang dikhuatiri menyimpan kemurungan tersendiri dan hanya menjawab "are you okay"- dengan mesej mengatakan ia berada dalam keadaan baik.

"Sangat jelas tindakan beliau dalam menafikan perasaannya, sebagai seorang ibu saya tahu isi hati setiap anak saya.

"Tetapi sewaktu kami tiba di Lingga, Amar akhirnya menangis sepuasnya, malah air matanya itu menitik di sungai di mana arwah ayahnya dihanyutkan.

"Saat itu, dalam tangis saya tersenyum dan bersyukur kerana akhirnya ruang untuk anak saya, Amar dalam proses pemulihan akhirnya terbuka," ujarnya.

Sambil mengesat airmatanya di atas pentas di hadapan ratusan hadirin yang turut kelihatan hiba, ibu tunggal itu berkata, setiap keputusannya kini adalah hanya untuk anak-anaknya dan untuk orang Kuala Kangsar.

"Saya berazam untuk melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang psikologi, dan saya sememangya begitu dekat dan prihatin terhadap perkembangan kesihatan mental ini sejak begitu lama.

"Saya tahu perasaannya dilanda kemurungan tetapi apa yang paling penting adalah sikap kita sendiri, kena tabah dan kebal terhadap tohmahan orang dan perbaiki, cari diri kita sendiri," katanya lagi.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana orang Kuala Kangsar seringkali menjadi pendengar aktif menantikan luahannya mengenai masalah serta perasaan kehilangan arwah suaminya, malah dengan begitu tekun dan ikhlas.

Setelah mengalami trauma kehilangan suami tercinta, Mastura berkata, beliau akan lebih fokus terhadap agendanya untuk membawa isu kesihatan mental ke peringkat Parlimen pada bulan Oktober depan.


19 views0 comments
bottom of page