top of page
muinsapidin

PeKA Sediakan 1,700 Pekerjaan Di Langkap

LANGKAP: Hampir 1,700 peluang pekerjaan di dalam pelbagai sektor ditawarkan dalam Karnival Kemahiran dan Kerjaya (3K) Dewan Undangan Negeri Sungai Manik di sini pada Sabtu.

Ahli Lembaga Pengarah Pusat Kerjaya Aman Jaya (PeKA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, karnival sehari itu disertai 14 majikan swasta, satu agensi kerajaan dan 14 penyedia latihan serta kemahiran.

Menurut beliau, kerajaan terus berusaha untuk membantu memudahkan pencari kerja mendapatkan pekerjaan, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran negara amnya dan di negeri ini khasnya.

"Karnival ini juga membuktikan negara tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing, sebaliknya kita membuka peluang kepada pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja," katanya ketika sidang media selepas merasmikan karnival itu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Zainol Fadzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri berkata, antara syarikat yang hadir menawarkan pekerjaan ialah Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Encompass Medical Supplies Sdn Bhd, Azam Achievers Management, Central Medicare Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PeKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata, fokus karnival kerjaya di Langkap itu menjurus kepada latihan serta peluang pekerjaan dalam bidang memasang dan membina perancah (scaffolding).

“Ini merupakan kali kedua kita bawa satu-satunya syarikat yang menawarkan latihan memasang perancah di negara ini iaitu Human Architecture Technologies Sdn Bhd (HAT) ke Perak.

“Kita memikirkan ianya mempunyai peluang yang banyak untuk belia-belia di langkap dan secara amnya di Teluk Intan untuk menceburi bidang ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Jelasnya, belia di daerah itu lebih berminat untuk menyertai bidang kemahiran, justeru fokus ke program perancah tersebut amat bersesuaian.

“Melalui Program Skills@PeKA, ianya bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan menyediakan sijil kepada bumiputera berumur 19 hingga 23 tahun di mana secara tidak langsung menawarkan pekerjaan kepada mereka.

"Proram ini melibatkan latihan selama enam minggu dan sijil yang diiktiraf oleh badan-badan berkaitan akan dikeluarkan kepada mereka selepas tamat latihan,” tambah beliau.

Scaffolding atau perancah merupakan platform kerja sementara yang dipasang tinggi di sisi bangunan sedang dibina untuk kegunaan menampung pekerja, alat atau material-material pembinaan selama pekerjaan berlangsung.

HAT merupakan rakan pelaksana bagi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), Talent Corp dan Multimedia Development Corporation (MDeC) yang menyediakan servis latihan kepada bakal pekerja professional dan bakal pekerja kolar biru.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Azri Bakri Hamdan, 21 dari Bagan Datoh memberitahu, usaha PeKA yang membawa pencari pekerja ke kawasan luar bandar harus dipuji.

“Sebelum ini kita lihat banyak karnival kerjaya hanya tertumpu kepada kawasan bandar, tetapi bagaimana pula belia-belia di luar bandar ini yang rata-ratanya susah untuk ke bandar.

“Tetapi dengan usaha PeKA, ianya menyenangkan belia-belia, contohnya macam saya dari Bagan Datoh tidak jauh sangat untuk datang ke Teluk Intan,” katanya ketika ditemui.

Nur Afiqah Jamali, 20, dari Teluk Intan pula berpendapat, karnival kerjaya seperti diketengahkan oleh PeKA memberi harapan baharu kepada penduduk luar bandar.

“Macam saya penduduk luar bandar sebelum ini hanya berfikir untuk mencari kerja sama ada di Ipoh mahu pun di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar kerana peluang pekerjaan di tempat sendiri macam tak ada.

“Tapi setelah pergi ke karnival kerjaya ini baru saya tahu banyak sebenarnya pekerjaan yang ditawarkan di dalam negeri, malah ada juga di Teluk Intan sendiri,” tambahnya.


51 views0 comments
bottom of page