KUALA KANGSAR: Masyarakat harus mula peka terhadap sebarang perubahan perlakuan normal di kalangan ahli keluarga untuk mengenalpasti tanda-tanda gangguan mental pada peringkat awal bagi rawatan segera.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, frasa kesihatan mental selalunya dikaitkan dengan stigma negatif, namun pemikiran itu harus dihentikan segera kerana ia melibatkan minda dan masa depan individu tersebut.
Katanya, terdapat pelbagai peringkat gangguan mental yang berlaku kepada seluruh rakyat di negara ini dan kita harus bijak memberi perhatian kepada ahli keluarga dan persekitaran untuk mengenalpasti tahap gangguan tersebut bagi rawatan lanjut.
" Selalunya apabila kita menggunakan perkataan kesihatan mental, mulalah orang beranggapan bahawa orang itu gila dan sebagainya tetapi sebenarnya ia mempunyai tahap berbeza iaitu dari peringkat awal sehingga ke ekstrim.
"Ianya akan bermula dengan stress atau rasa tertekan, keresahan (anxiety), sebelum ke peringkat paling atas iaitu kemurungan (depression), yang akan mendorong kepada Schizophrenia," katanya dalam sidang media sempena Perasmian Hari Mental Sedunia Peringkat Negeri Perak di SMK Bukit Mencur, di sini pada petang SMK Bukit Menchu pada Sabtu.
Menurut beliau, pihak jabatan kesihatan telah menjalankan pelbagai program berteraskan komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan awal individu yang mengalami gangguan mental di kalangan masyarakat.
Dr Juita berkata, pihaknya juga lebih gemar menggunakan pendekatan berbeza untuk merawat individu yang mengalami gangguan mental berbanding dengan kaedah konvensional.
" Kalau dahulu kita akan menghantar mereka kepada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan (kini Hospital Bahagia Ulu Kinta), tetapi sekarang kita hanya akan memasukkan mereka yang mempunyai masalah gangguan mental di peringkat kritikal, dan selebihnya setelah mendapat rawatan akan dihantar balik ke rumah.
"Lihat dari sudut pesakit, mereka lebih selesa dan akan cepat pulih dikelilingi oleh sanak - saudara dan mereka yang akrab bersama mereka, berbanding ditemani oleh golongan pesakit mental yang lain," katanya lagi.
Tambahnya, pihak perubatan dan paramedik akan membuat rawatan susulan dan melawat pesakit itu di rumah bagi pemberian ubat dan memantau sebarang perkembangan baik positif dan negatif.
" Perkara kedua terpenting adalah sesi saringan yang disediakan di mana-mana klinik kerajaan dan hospital untuk mengenal pasti di peringkat awal.
" Saya sering mengingatkan kepada semua untuk pesakit mental ini mempunyai peluang masing-masing untuk menjadi stabil dan dirawat oleh pakar berpengalaman," ujarnya.