top of page
  • muinsapidin

Jangan Konsesikan Projek Marris – PERKOBF

IPOH: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia meminta kerajaan supaya tidak menswastakan projek penyelenggaraan jalan kampung dan luar bandar di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) kepada syarikat konsesi.

Presiden PERKOBF, Tukiman Radion berkata, selepas penswastakan projek penyelenggaraan jalan persekutuan dan jalan perbandaran, hanya tinggal projek Marris yang menjadi harapan kontraktor kelas F seluruh negara.

Menurut beliau, walaupun setakat ini hanya Pahang sahaja yang telah melaksanakan penswastaan projek Marris yang melibatkan RM35 juta untuk tempoh lima tahun, pihaknya bimbang ia akan diikuti oleh negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Jika kita tidak buat sesuatu, di seluruh negara ia akan dikonsesikan, jadi kita perlu bersuara, membantah sebelum ditubuhkan konsesi tersebut.

“Apabila ia ditubuhkan, akan menjadi satu permasalahan, jadi sebelum masalah-masalah yang kronik timbul, adalah lebih baik kita membantah terlebih dahulu, kita meminta supaya jangan dikonsesikan, berikan kepada kontraktor kelas F,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKOBF Cawangan Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia di sini pada Jumaat.

Hadir sama Yang Dipertua PERKOBF Cawangan Negeri Perak, Zairol Hizam Zakaria.

Tukiman memberitahu, buat masa ini terdapat kira-kira 24,000 kontraktor kelas F di seluruh negara dan sekiranya projek-projek kecil diberikan kepada mereka, sudah tentu ramai yang mendapat faedahnya.

“Seandainya kerajaan menswastakan projek-projek Marris ini, nampaknya kontraktor kelas F tidak berpeluang untuk nak cari makan sebab projek jalan persekutuan dan perbandaran telah dikonsesikan,” ujarnya.

Beliau menambah, sepatutnya projek-projek itu diberikan kepada kontraktor kecil, bukannya kontraktor besar yang boleh melaksanakan projek-projek besar, tanpa mengambil projek penyelenggaraan yang dikhaskan untuk kelas F.

“Janganlah mengisi pasir dalam periuk nasi kami kontraktor kecil, kerana kebanyakan mereka ini juga penyokong kerajaan dan kerajaan tidak sepatutnya menjatuhkan ekonomi orang yang menyokong mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, Tukiman berkata, pihaknya telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melalui Setiausaha Politik Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ghazali Ibrahim du bulan lalu.

“Diharap dalam pembentangan bajet bulan Oktober ini, adalah sesuatu yang memberi sinar cahaya kepada kontraktor kelas F,” katanya.

Dalam pada itu, Tukiman turut meminta kerajaan mewajibkan kerja-kerja ubahsuai rumah persendirian mestikan dibuat oleh kontraktor yang berdaftar, bukannya sewenang-wenangnya diberi kepada pekerja Indonesia atau Bangladesh.

Beliau menjelaskan, tindakan seumpama itu boleh menyelamatkan pengguna, khususnya apabila berlaku sesuatu masalah seperti kontraktor lari dan pembinaan tidak mengikut spesifikasi.

“Jika diberikan kepada kontraktor yang berdaftar, tidak semestinya dari kelas F, dan jika berlaku masalah, pengguna boleh membawa perkara itu kepada Tribunal Pengguna, jadi maknanya, kita juga melindungi pengguna,” tambahnya.


104 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page