top of page
muinsapidin

Geng Don Tiger Tumpas

IPOH: Empat penjenayah yang ditembak mati malam tadi di Tambun merupakan anggota kumpulan kongsi gelap `Geng Don Tiger’ yang paling dikehendaki polis kerana terlibat dalam beberapa kegiatan samun menggunakan senjatapi di negeri Perak.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Datuk Hasnan Hassan berkata, penjenayah yang ditembak mati itu, termasuk ketua mereka, didapati telah melakukan tujuh kes samun termasuk kes samun mengurup wang melibatkan kerugian RM100,000.

Menurut beliau, kesemua penjenayah itu berumur antara 20 hingga 30 tahun dan berasal dari Perak.

“Daripada siasatan lanjut yang dilakukan oleh pihak polis, kita percaya telah berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang telah melakukan pelbagai kegiatan jenayah melibatkan senjata api di negeri Perak,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, di sini pada Jumaat.

Hasnan memberitahu, antara kes itu ialah tujuh kes samun di mana tiga merupakan kes samun bersenjataapi, termasuk kes samun mengurup wang membabitkan kerugian RM100,000 dan kes samun Econsave pada September tahun ini yang melibatkan kerugian RM16,000.

Katanya, siasatan polis juga mendapati, empat anggota kumpulan penjenayah itu terbabit dalam satu kes percubaan membunuh dengan melepaskan tembakan ke arah anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas pada 2 disember 2015.

Ketika mengulas mengenai kejadian itu, Hasnan berkata, pasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah kereta Honda Accord warna kelabu dalam keadaan mencurigakan di kawasan jalan besar Tanjung Rambutan - Ipoh pada jam 10.50 malam semalam.

Menurut beliau, pihak polis cuba menahan kereta tersebut tetapi terdengar letupan dan percikan api dari arah kereta berkenaan sebelum pemandunya terus memecut ke arah jalan besar Tambun.

Katanya, kereta terbabit kemudian merempuh sebuah kereta polis yang cuba memintas lalu terbabas dan melanggar tiang lampu jalan.

Menurut Hasnan, apabila pihak polis cuba menghampiri kereta berkenaan, tiba-tiba penumpang sebelah pemandu telah melepaskan tembakan ke arah polis.

Beliau berkata, dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman dan siasatan yang dijalankan mendapati empat penjenayah telah mati di dalam kereta berkenaan.

Polis turut merampas sepucuk pistol automatik jenis Remington Colt .45, empat peluru hidup, satu kelongsong, satu slug, sepucuk pistol angin, dua bilah parang, satu plastik berisi syabu dan peralatan menghisap dadah.

Hasnan berkata, polis juga sedang memburu saki- baki anggota kumpulan itu yang dipercayai masih bergerak bebas dalam kegiatan samun bersenjata di negeri ini.


107 views0 comments
bottom of page