top of page
muinsapidin

Coke Catat Rekod Dengan 47 Replika Mercu Tanda

TELUK INTAN: Inisiatif syarikat Coca Cola membina 47 replika mercu tanda terkenal di 31 lokasi seluruh negara menggunakan tin dan botol plastik mendapat pengiktirafan rekod pembinaan terbanyak oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan Cola Cola Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen Lusk berkata, kira-kira 370,000 tin dan botol plastik diperlukan bagi membina kesemua replika mercu tanda yang kini ditempatkan di dalam pasaraya-pasaraya terpilih di seluruh negara.

Katanya, program tersebut merupakan cetusan idea daripada pekerja syarikat tersebut dari negara ini dan dijalankan bersempena dengan ulang tahun ke-80 Coca-cola selain turut meraikan sambutan Hari Malaysia secara serentak.

"Kita telah bertapak di Malaysia sejak 1936 dan program ini merupakan penglibatan terus kita bersama dengan komuniti tempatan yang telah menyokong kami selama ini selain mempersembahkan ikon warisan terkenal di serata Malaysia secara kreatif.

"Kesemua 47 replika ini telah dipamerkan di pasaraya terpilih dari awal bulan Ogos dan pengunjung boleh mengambil peluang untuk mengambil gambar di sini sehingga penghujung September ini,"katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pengiktirafan MBOR kepada syarikat Coca-cola Malaysia di pasaraya TF Value Mart, di sini pada pagi Jumaat.

Stephen berkata bagi negeri Perak, mereka memilih untuk menampilkan mercu tanda Kapal Korek Bijih Timah, Kellie's Castle, Bazaar Bulat Ipoh, Menara Condong Teluk Intan dan Stesen Keretapi KTM Ipoh.

Jelasnya, keseluruhan proses bagi pembinaan struktur replika mercu tanda di negeri Perak memakan masa selama dua minggu dan melibatkan enam tenaga kerja.

Sementara itu, wakil MBOR, Muhd Alex Edward berkata program syarikat berkenaan telah mencatatkan rekod baru dalam pembinaan replika terbanyak ketika ini.

"Kami menetapkan minimum 31 replika yang harus mereka bina untuk mencatatkan rekod namun mereka telah berjaya membina lebih daripada itu dan ini merupakan satu rekod baru dan cukup unik di seluruh Malaysia,"ujarnya.

Jelasnya, pihaknya amat gembira untuk bekerjasama dengan Coca-cola Malaysia yang telah mencetuskan satu trend kepada syarikat lain di Malaysia untuk mencatatkan rekod dengan menggunakan pendekatan berbeza serta melibatkan kerjasama komuniti setempat.

Antara replika ikonik lain yang dibina di negeri lain adalah Menara Alor Star (Kedah), Istana Bukit Serene ( Johor), Gunung Kinabalu (Sabah), replika penyu (Terengganu), Menara KOMTAR (Pulau Pinang), Fraser Hill (Pahang).


38 views0 comments
bottom of page