top of page
muinsapidin

Proses Modenisasi Pertanian Mampu Tingkatkan Ekonomi Negara

IPOH: Golongan petani seharusnya mengambil langkah proaktif dalam memastikan kaedah tanaman yang sedia ada sentiasa dikembangkan dan mengikut arus modenisasi agar ianya dapat meningkatkan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata golongan tersebut seharusnya mengambil inisiatif dan bekerjasama dengan kerajaan dalam mempercepatkan proses modenisasi tanaman dalam memastikan Malaysia bergerak seiring dengan negara maju lain di dunia.

Katanya, antara negara yang wajar dijadikan contoh adalah Jepun di mana terdapat pelbagai kaedah tanaman seperti padi dan tanaman lain yang menggunakan sistem berteknologi tinggi dan menjimatkan tenaga serta masa pekerja.

" Sebagai contoh, durian Musang King kita sebenarnya mendapat tempat yang cukup banyak di China atau Hong Kong khususnya, jadi apa kata kita gunakan baka atau pokok durian kampung dan kita gabungkannya menjadi sesuatu yang boleh setaraf dengan Musang King atau sebagainya.

" Proses ini tidak berlaku di peringkat petani sahaja malah ianya perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan, baik dari segi peruntukan dan sokongan kewangan sekaligus meningkatkan daya saing serta mencetuskan idea inovasi di kalangan petani moden," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ladang Peringkat Daerah Kinta/Kampar di Pejabat Pertanian Daerah Kinta pada petang Khamis.

Tambahnya, pertanian merupakan satu sektor yang wajar diambil perhatian kerana Malaysia masih merupakan negara yang kaya dengan kapasiti tanah yang belum diterokai yang berpotensi untuk dibangunkan secara komersial.

Husni berkata, selain daripada proses modenisasi secara praktikal, golongan petani juga harus berfikiran jauh dan membuka minda serta mentaliti mereka kepada pendekatan lebih kreatif untuk hasil tanaman yang lebih banyak.

" Justeru itu, saya ingin mencadangkan beberapa idea untuk menjana pembangunan aktiviti pertanian di daerah Kinta dan Kampar seperti menambah bilangan usahawan dalam bidang pemprosesan asas tani ( IAT) melalui Kumpulan Pengembangan Wanita ( KPW).

" Selain itu, memperluaskan promosi produk industri asas tani ke peringkat antarabangsa dan memastikan pengeluaran produk sentiasa berterusan dan memenuhi standard piawaian yang digariskan," katanya lagi.


26 views0 comments
bottom of page