IPOH: Seorang pengurus sebuah syarikat keselamatan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM200,106.20 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah membuat dokumen tuntutan gaji dan bayaran kerja lebih masa (OT) palsu pada 2012.
Hakim S.Indera Nehru memerintahkan hukuman terhadap Agu Salim Saibi yang merupakan bekas anggota tentera, bermula hari ini.
Agu Salim, 55, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cisco (M) Sdn Bhd di Medan
Istana, Bandar Ipoh Raya di Ipoh di antara Januari 2012 hingga Mei 2014.
Berpandukan kertas pertuduhan, dia didakwa memperdayakan majikannya dengan mengemukakan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM40,021.24 atas nama adik iparnya Roslan Abu Hassan, 42, sedangkan lelaki itu tidak pernah bekerja dengan syarikat berkenaan.
Sebagai pengurus cawangan di syarikat itu, tertuduh bertanggungjawab mengemukakan dokumen perakam waktu pekerja yang telah disahkan olehnya setelah perkiraan hari bekerja dan hari kelepasan dibuat bagi tujuan bayaran.
Dia dituduh mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak melebihi lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam kes itu, Agu Salim turut merayu hukuman ke atasnya diringankan kerana perlu menanggung isteri serta empat anaknya yang masih bersekolah dan menganggur selain dia menginsafi perbuatannya.
"Saya pohon agar hukuman diringankan kerana saya tidak mampu bayar denda dan jika dipenjara, keluarga saya akan jadi kucar-kacir kerana selama ini saya yang
menguruskan keluarga kerana isteri tidak pandai memandu kereta.
"Sekiranya saya dipenjara, kemungkinan pinjaman pengajian anak saya di sebuah kolej di Kuantan, Pahang akan dibatalkan," katanya .
Beliau juga memaklumkan bahawa selama berkhidmat dalam tentera sehingga awal 2001 dan bekerja di syarikat berkenaan, dia tidak pernah melakukan kesalahan jenayah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan perbuatan sama semasa menjalankan amanah dan tugas mereka.