Peraturan keselamatan lalu-lintas Kementerian di kawasan sekolah seluruh negara akan diperketatkan lagi bagi memastikan kemalangan membabitkan pelajar dapat dielakkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata ianya termasuk meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang membawa laju di kawasan sekolah. “Pembinaan bonggol di hadapan laluan sekolah memang diwajibkan selain menebalkan garisan kuning serta meletakkan tanda had laju 30 km/j, tetapi masih ada pemandu yang mementingkan diri dan tidak memberikan tindakan serius atas segala halangan yang dibuat sehingga pelajar sekolah menjadi mangsa. “Kita akan melihat kembali bagaimana kita boleh mengetatkan lagi aspek kawalan keselamatan jalan raya di luar kawasan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Dermasiswa 2016 LAFARGE di Sungai Siput, pada Khamis.
Beliau diminta mengulas kejadian seorang murid lelaki berusia 10 tahun maut digilis lori membawa muatan makanan ayam di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai ketika hendak melintas jalan untuk memasuki kawasan sekolah pada Rabu.
Menurut Kamalanathan agi tindakan itu perlu diambil ekoran kes kemalangan melibatkan pelajar sekolah di kawasan sekolah kerap berlau akhir-akhir ini. Katanya, punca kejadian kemalangan tersebut lazimnya disebabkan daripada sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang mengingkari peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di kawasan sekolah. “Kita amat kecewa, ini amat tidak boleh diterima sekali. Saya harapkan pihak keselamatan dan JPJ juga mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membawa laju di kawasan sekolah,” tegasnya. Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail ketika dihubungi Suara Perak memberitahu pihaknya menyambut baik langkah tersebut. “Saya amat bersetuju dengan pengumuman itu, tambah baik dengan menambahkan skop tanggungjawab kawalan keselamatan sekolah sehingga membantu murid melintasi jalan ke pintu pagar sekolah,” ujarnya.