IPOH: Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak leka bermain ‘Pokemon Go’ sehingga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontingen Perak, SAC T.Selvan berkata, pihak polis turut membendung masalah itu dengan mengadakan rondaan di ‘hotspot’ Pokemon Go sekitar Ipoh.
“Fokus kita kini adalah untuk turunkan kadar jenayah jalanan di samping turunkan indeks jenayah, termasuk membendung segelintir individu yang tidak hiraukan keselamatan diri semasa bermain Pokemon.
“Langkah pencegahan yang kita laksanakan ialah dengan rondaan di ‘hotspot’ seperti Taman D.R yang selalu sesak di waktu petang dengan orang ramai yang bermain aplikasi tersebut.
“Jangan terlalu taksub main Pokemon sampai menghalang lalu lintas serta mendatangkan ketidakselesaan pada orang lain,” katanya kepada media dalam Program ‘High Profile Community Policing’ di Ipoh Garden pada Khamis.
Ujarnya, lokasi Tambun dan Ipoh Garden dipilih bagi program berkenan berikutan ia menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri khususnya pada hari minggu.
“Di kawasan ini banyak hotel dan dan juga taman tema yang sentias dikunjungi orang ramai pada waktu tertentu. Waktu malam pula rancak dengan aktiviti di pusat-pusat hiburan.
“Jadi kita mahu beri kesedaran kepada masyarakat untuk berganding bahu dengan pihak polis untuk sama-sama membanteras kegiatan jenayah.
“Di samping rondaan yang dilaksanakan pihak polis kita turut galakkan masyarakat menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ polis,” katanya.
Dalam program ini Selvan bersama yang lain turut mengedarkan risalah kempen di beberapa buah premis perniagaan sekitar Ipoh Garden.