IPOH: Seramai 114 pelajar sekolah menengah di negeri Perak dikesan positif dadah sehingga Jun 2016.Pengerusi PEMADAM Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, penemuan itu diperolehi selepas ujian air kencing dilakukan terhadap 2,589 pelajar di sekolah-sekolah berisiko tinggi.
Menurut beliau, lebih membimbangkan kebanyakan pelajar yang terlibat, positif dadah jenis sintetik.
Sehubungan itu, beliau meminta guru-guru supaya mengambil tindakan segera seperti memberi sesi kaunseling kepada pelajar dan keluarga.
"Janganlah disorokkan atau disapu ke bawah karpet kerana kita bimbang akhirnya ia umpama kanser tahap empat yang tidak boleh diubati lagi," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Fesko Pemadam Chulanian di SMK Raja Chulan dekat sini pada Khamis.
Hadir sama Pegawai Daerah Kinta, Tarmidzi Abd Manaf, Timbalan Pengerusi PEMADAM Perak, Profesor Dr Richard Ng dan Pengetua SMK Raja Chulan, Mohmad Guffri Alpiah.
Samsudin berkata, bagi mengatasi masalah penagihan dadah di kalangan pelajar, pihaknya melaksanakan strategi lautan biro kebangsaan (NBOS) dengan beberapa agensi lain seperti AADK, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri berkata, semua gerak kerja itu akan berpandukan kepada Pelan Tindakan Strategik Pemadam yang telah dilancarkan tahun lalu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri memandang serius kes-kes penagihan dadah di negeri ini yang disifatkannya sebagai membimbangkan.
Menurutnya, walaupun sehingga Disember 2015, bilangan penagih di seluruh negeri ialah 5,494 orang tetapi berdasarkan kepada penemuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setiap penagih akan ada empat orang lagi bersama mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan komuniti supaya mengambil sikap ambil kesah untuk bersama-sama menerangi najis dadah.