top of page
muinsapidin

10 Cedera dalam Kemalangan Tiga Kenderaan di Batu Kurau

TAIPING: Sepuluh orang cedera, seorang daripadanya parah, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 20.7 Ulu Sepetang-Redang Panjang, Batu Kurau pada pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar 6.30 pagi itu, mangsa, Zarina Abdullah, yang sedang dalam perjalanan ke Batu Kurau dirempuh oleh sebuah van sebelum mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kemalangan itu turut melibatkan kecederaan kepada tujuh pekerja sebuah kilang di Kamunting.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku apabila sebuah van yang membawa tujuh penumpang melanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan semasa dalam perjalanan dari Batu Kurau ke Kamunting.

"Impak rempuhan itu pula telah menyebabkan van tersebut memasuki haluan bertentangan lalu melanggar kenderaan jenis Perodua MyVi milik mangsa yang sedang dalam perjalanan ke Batu Kurau," katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurutnya, pemandu Viva dan kesemua penumpang termasuk pemandu van hanya mengalami kecederaan ringan.

Wan Jamil berkata, siasatan lanjut mendapati keadaan jalan adalah licin berikutan hujan renyai dan kes akan disiasat lanjut di bawah Seksyen 42 ( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


27 views0 comments
bottom of page