top of page
muinsapidin

Petani dan Penternak PPK Terjejas Banjir Layak Mendapat Pampasan

IPOH: Golongan petani dan penternak dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terjejas berikutan banjir di seluruh negara layak mendapat pampasan kerugian melalui prosedur dan saluran yang betul.

Pantai Remis

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Hamzah Bahari berkata, ia adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang terjejas khususnya berikutan fenomena air pasang besar di beberapa kawasan seluruh negara.

"Sekiranya terdapat mana-mana PPK yang terjejas dalam kejadian banjir ini, mereka perlu ke Jabatan Pertanian yang bertindak sebagai jabatan teknikal untuk melakukan laporan dan aduan mengenai kerugian mereka.

"Selepas itu, pihak Jabatan Pertanian akan turun ke lokasi dan melaksanakan taksiran atau penilaian ke atas kerugian sebelum menyerahkan laporan kepada pihak Kementerian Pertanian untuk proses tuntutan pampasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Nama PPK Tambun Bandaraya Ipoh, Penyerahan Zakat Nafas dan Program Jom Bertani di Grand Ballroom,MH Hotel di sini pada petang Rabu.

Katanya, Jabatan Pertanian mempunyai kepakaran spesifik menilai kerugian di kawasan PPK terjejas akibat banjir termasuklah keluasan kawasan kerugian dan jenis kerosakan serta sebarang kematian ternakan.

Hamzah berkata, kesemua aduan tersebut akan dikemukakan kepada pihak kementerian yang ada menyediakan satu unit tabungan khas untuk kejadian bencana alam seperti ini.

Katanya, di Perak sendiri PPK Ulu Kinta mempunyai jumlah tabungan sebanyak RM15,00 untuk diagihkan kepada 11 kumpulan di seluruh kawasan.

Katanya, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempertimbangkan permohonan tuntutan pampasan sekiranya dokumen lengkap sepenuhnya dan pengesahahan diperoleh oleh Jabatan Pertanian.

Hamzah berkata, dengan tindakan proaktif kementerian, maka mereka pasti akan dapat menangani kerisauan mengenai masalah kerugian di PPK masing-masing secara lebih holistik

Pampasan itu menurutnya akan disalurkan samada melalui Jabatan Pertanian atau Lembaga Pertubuhan Peladang setelah mendapat kelulusan daripada semua pihak.

"Pihak Kementerian kemudian akan membentangkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan pampasan dan penilaian terakhir.

" Kebiasaannya, pelbagai badan dan agensi akan bertanggungjawab untuk menyalurkan pampasan baik dari segi penternakan dan perikanan atau pertanian," katanya lagi.


15 views0 comments
bottom of page