top of page

Penjenamaan Semula PPK Ulu Kinta Selaras Keperluan Bandaraya Ipoh

muinsapidin

IPOH: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ulu Kinta melaksanakan penjenamaan semula nama pertubuhannya seiring dengan penyesuaian kedudukannya di kawasan bandar.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Hamzah Bahari berkata, penjenamaan semula itu adalah selaras dengan misi PPK tersebut untuk memacu strategi dan program bagi mencapai sasaran dalam membangunkan komuniti peladang di seluruh negeri khususnya.

Katanya, nama terdahulu PPK Ulu Kinta akan dijenamakan semula menjadi PPK Tambun Bandaraya Ipoh yang diharapkan menjadi pemangkin kepada kerancakan aktiviti pertubuhan di kawasan bandaraya bersejarah itu.

"Terdapat beberapa manfaat yang diperoleh secara terus sekiranya sesebuah pertubuhan bertapak di bandar iaitu peningkatan populasi yang akan mendorong PPK untuk menyesuaikan diri dan merancang program bersesuaian.

"Selain itu, salah satu perkara yang perlu diambil perhatian adalah pemasaran berkualiti dengan mengambil kira keperluan sektor penternakan, pertanian, perikanan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Nama PPK Tambun Bandaraya Ipoh, Penyerahan Zakat Nafas dan Program Jom Bertani di Grand Ballroom,MH Hotel di sini pada petang Rabu.

Tambahnya, kekuatan utama PPK Tambun Bandaraya Ipoh adalah produk sayur-sayuran yang bakal menepati hasrat kerajaan yang ingin mengurangkan import makanan.

Jelasnya, PPK tersebut juga bakal menjadi tempat persinggahan dan laluan bagi sayur-sayuran dari luar bandar untuk dipasarkan secara komersial dengan harga berpatutan di sekitar negeri Perak.

"Apa yang kita harapkan adalah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kita akan dapat membantu, biarpun sedikit untuk memastikan harga di dalam senarai keperluan makanan seperti sayur, ikan dan sebagainya masih berada di takat mampu beli oleh rakyat setempat," ujarnya.


89 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page