top of page
muinsapidin

Mangsa Banjir Lega Ombak Pasang  Besar Beransur Pulih

PANTAI REMIS: Seramai 82 orang daripada 18 keluarga mangsa banjir di Pantai Remis lega apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah ombak pasang besar yang berlaku sejak tiga hari lalu kini beransur pulih.

Namun mereka tetap akur dan patuh segala arahan pihak kerajaan supaya berpindah semula ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Panchor sekiranya kejadian ombak pasang besar berulang lagi.

Menurut seorang penduduk Kampung Panchor, Pantai Remis, Puan Amu Din, 70, beliau merasa lega kerana dibenarkan pulang untuk membersihkan rumahnya yang dinaiki air setelah dilanda banjir dua hari lalu.

``Saya dan keluarga telah dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan dan bermalam dua hari di situ dan hari ini saya amat lega dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah kerana ombak pasang besar sudah beransur pulih.

``Kalau kejadian ombak besar berlaku lagi kami akan ikut arahan kerajaan supaya berpindah semula ke pusat pemindahan,’’ katanya.

Seorang lagi penduduk dari kampung yang sama, Puan Ramadiah Abu Bakar, 71, berkata, beliau amat gembira kerana dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah dan mencuci semula semua pakaian keluarganya yang telah ditenggelami air semasa kejadian banjir dua hari lalu.

``Mak Cik sungguh lega kerana dapat balik semula ke rumah kerana cuaca baik dan ombak pasang besar dah beransur pulih.

``Apapun dikesempatan ini Makcik dan anggota keluarga akan membersihkan rumah dan segala pakaian sebelum berpindah semula ke pusat pemindahan banjir sekiranya kejadian banjir berulang semula,’’ katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Penolong Penguasa Bomba Amir Ahmad berkata, pihak bomba dengan kekuatan sembilan anggota sentiasa bersiap siaga memantau keadaan ombak pasang besar dan menasihatkan mangsa banjir supaya berpindah segera sekiranya banjir berulang.

``Alhamdullilah nampaknya dalam masa tiga hari ini cuaca nampaknya adalah dalam keadaan baik, airpun dah surut.

``Kita sedang membuat pemantauan dari semasa kesemasa walaupun dalam keadaan cuaca yang baik dan airpun dah surut, sekiranya berlaku dalam keadaan skala yang besar kita akan dapatkan bantuan daripada zon ataupun negeri,’’ katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin semasa bercakap kepada pemberita di pusat pemindahan S.K Tapak Semenang Teluk Intan berkata, punca limpahan air yang menyebab berlakunya banjir kerana beberapa ban Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dipecahkan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan pertanian.

Katanya, siasatan mendapati mereka telah memecahkan ban-ban JPS dengan meletakkan calvert secara haram untuk tujuan pertanian.

Sehubungan dengan itu beliau telah mengarahkan pihak JPS supaya membuat pemantauan secara terperinci di semua ban JPS seluruh negeri ini bagi mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab memasang calvert secara haram.


40 views0 comments
bottom of page