IPOH: Seorang bekas pengurus kilang getah milik Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM18 juta kepada perbadanan itu antara 2011 hingga 2012.
Muhammad Faizal Sudin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Muhammad Faizal menghadapi pertuduhan pertama sebagai Pengurus Kilang Syarikat Mardec Processing Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas harta sebanyak RM767,466 yang diamanahkan kepadanya di Kilang Getah Mardec, Mardec Processing Sdn Bhd, Bota Kanan pada Ogos hingga Disember 2011.
Dia menghadapi pertuduhan kedua melakukan pecah amanah ke atas harta sebanyak RM17.4 juta yang diamanahkan kepadanya di kilang yang sama pada Januari hingga Oktober 2012.
Muhammad Faizal menghadapi kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda.
Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan dua orang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 November ini.
Hakim juga memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan passport dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis yang berdekatan dengan kediamannya.
Muhammad Faizal diwakili peguam Mohd Ambar Abdullah Ambar manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurshuhaida Zainal Azahar dari Unit Komersial Siber Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.