SIMPANG PULAI: Seorang warga emas Orang Asli, Long Ngah, 80, yang dilaporkan hilang empat hari lalu ditemui dalam keadaan lemah terduduk di tanah perkuburan Orang Asli Peti dekat sini pada Isnin.
Long Ngah yang ditemui kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Kerawat dalam keadaan tidak berbaju dan berkasut di bawa keluar oleh anggota bomba untuk mendapatkan rawatan awal.
“Dahaga, nak air, lapar,” itulah luahan Long Ngah, 80, apabila ditemui oleh anggota Bomba dan Penyelamat.
Anaknya, Anne, 29, berkata, keluarganya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk apabila usaha penduduk kampung bersama pihak bomba tidak menemui sebarang petunjuk sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, mereka berasa bertuah apabila bapa mereka berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Bapa pernah tersesat tiga kali sebelum ini tetapi penduduk kampung sempat melihatnya dan membawanya pulang. Tetapi kali ini, penduduk kampung tidak perasan kelibatnya kerana sibuk membuat persiapan kenduri di Kampung Pergom.
“Hati bapa memang dekat dengan hutan kerana dahulu dia bekerja sebagai home guard. Tetapi keadaannya kini tidak mengizinkan kerana nyanyuk dan menghidap darah tinggi,” kata Anne.
Anne berkata, berikutan kejadian itu, keluarganya akan lebih berhati-hati dengan tidak meninggalkan bapanya keseorangan supaya tidak tersesat lagi.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Ali Hiari Sulaiman berkata, mangsa berjaya ditemui semula kira-kira jam 11.50 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.
“Anggota termasuk pasukan Storm, Must Team dan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan operasi di keluasan dua kilometer dari lokasi terakhir sebelum tersesat.
“Mangsa yang ditemui lemah dibawa keluar diberi rawatan. Mangsa turut diberi makanan dan minuman berikutan keadaannya yang keletihan akibat tidak makan beberapa hari lalu,” katanya.
Ali berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.