IPOH: Perlaksanaan Undang-Undang Kecil Taman secara berhemah yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung khususnya taman rekreasi di Bandaraya Ipoh.
Gambar Sumber Internet
Baru-baru ini, sekumpulan peniaga dari sekitar Padang Polo yang pernah berniaga barang mainan elektrik di Dataram KTM meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan MBI yang menghalang punca rezeki mereka.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata pihaknya tidak boleh hanya mengutamakan segelintir peminat sukan semata-mata seperti peminat basikal bermotor dan menafikan kehendak penguna taman yang lain.
Menurut beliau, dari Januari hingga September 2016, sejumlah 25 sitaan bernilai RM8,550 telah dijalankan di taman rekreasi sekitar Bandaraya Ipoh.
"Kami tidak melakukannya sesuka hati malah mengambil kira semua aspek, kerana kami menyedari ruang taman yang terhad serta peruntukan perundangan sediada tidak membenarkan aktiviti sedemikian di dalam kawasan taman rekreasi utama,"katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelasnya, tindakan tersebut diambil kerana MBI banyak belajar dari pengalaman di Dataran Stesen dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz yang mana MBI dilabelkan hilang kawalan ke atas kawasan awam seliaan MBI.
Bagaimanapun, kata beliau, bagi memenuhi kehendak pengguna yang mahukan kemudahan berbasikal biasa, pihaknya kini sedang berusaha untuk meningkatkan bilangan basikal untuk disewa samada untuk kanak-kanak dan dewasa di Taman D.R Seenivasagam.
Zamri berkata, adalah menjadi harapannya dan memohon kerjasama semua pihak untuk lebih memahami dan menyokong tindakan MBI dalam melaksanakan peraturan dan dasar sediada demi kesejahteraan wargakota Ipoh.
"Kerjasama berpasukan MBI dan wargakota Ipoh adalah pemangkin dalam membangunkan Bandaraya Ipoh yang Bersih, Hijau dan Maju," ujarnya.