top of page
muinsapidin

Polis Selamatkan Bayi, 11 Warga  Indonesia Dipaksa Jadi Pengemis

IPOH: Polis Perak berjaya menyelamatkan seorang bayi rakyat tempatan berusia 10 bulan, lapan wanita dan tiga kanak-kanak warga Indonesia yang dipaksa menjadi pengemis setelah menahan seorang lelaki di Taman Sri Berjaya, Ipoh petang Selasa.

Jurucakap polis Perak dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menyebut, lelaki berumur 31 tahun itu yang juga pemandu kereta Proton Exora ditahan di taman berkenaan pada jam 1.15 petang.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 ATIPSOM 2007 Eksploitasi Kerja Paksa (Mengemis).

Menurut jurucakap itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak sebelum itu telah mengekori lelaki tersebut yang memandu kereta berkenaan dan didapati mengambil beberapa orang wanita dipercayai rakyat asing di kawasan Persiaran Greentown 6, Green Town Bussiness Center.

Pasukan polis kemudian mengekori lelaki tersebut sehingga ke kawasan sebuah rumah di Taman Sri Berjaya, Ipoh sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan polis mendapati tiga orang wanita warga Indonesia di dalam kenderaan tersebut dan dalam pemeriksaan seterusnya polis menemui lapan wanita warga Indonesia di kawasan rumah berkenaan dalam keadaan keletihan.

``Hasil soal siasat seterusnya terhadap suspek, polis telah membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Kinding Hijauan3 dan sebuah rumah di Taman Kinding Hijauan, Chemor sebelum menemui seorang wanita, empat kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan di dalam rumah berkenaan,’’ kata jurucakap itu.

Polis turut merampas sebuah kereta Proton Exora warna merah hati nombor pendataran KCV 4723, wang tunai dan lima buku catitan hasil yang diperolehi dari mangsa yang dipaksa menjadi pengemis di sekitar Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.


35 views0 comments
bottom of page