TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperas dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Perak merampas barangan bernilai lebih RM1 juta sehingga September tahun ini kerana pelbagai kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sebanyak RM120,655 kompaun berjaya dikutip bagi tempoh yang sama tahun ini.
Menurut beliau, jumlah tersebut membuktikan kerajaan sangat serius dalam usaha memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan, melalui pelbagai akta seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
“KPDNKK membuat pemantaua ke premis perniagaan hampir setiap hari, tanpa menunggu aduan, kerana mahu memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pasaraya TF Value Mart dekat sini pada Selasa.
Lawatan itu yang turut dihadiri Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari adalah ekoran aduan pengguna minggu lalu kononnya terdapat harga yang dipamerkan tidak sama dengan harga di kaunter ketika membuat bayaran.
Samsudin memberitahu, dalam tahun ini, sebanyak 29,371 pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak KPDNKK, termasuk di 7,498 pemeriksaan di premis-premis perniagaan di luar bandar.
Menurut beliau, nilai rampasan sehingga September tahun ini jauh lebih tinggi berbanding nilai rampasan sepanjang tahun 2015 yang hanya mencatatkan jumlah RM655,345.
Bagaimanapun, Suhaimi menjelaskan, peningkatan nilai itu adalah disebabkan hasil operasi yang dijalankan pihaknya untuk membenteras kegiatan penyelewengan subsidi gas memasak.
Dalam pada itu, Samsudin menasihatkan pengguna di Perak supaya lebih bijak membeli barangan keperluan harian dan hanya membeli di premis yang menjual pada harga yang murah.
Beliau turut menasihatkan warga Perak supaya tidak mudah terpengarah dengan perniagaan skim cepat kaya seperti yang dilaporkan di Kelantan baru-baru ini kerana ia hanya akan merugikan mereka.
“Kita di Perak pernah berlaku skim cepat kaya suatu ketika dulu dan saya berharap ia tidak akan berulang lagi,” ujarnya.