top of page
muinsapidin

BN Tapah Bantah Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya

TAPAH: Barisan Nasional (BN) Tapah sepakat membantah persempadanan semula kawasan pilihanraya yang menyebabkan 3,088 pengundi daripada tiga pusat daerah mengundi (PDM) di Parlimen Tapah (P072) dipindahkan ke Parlimen Kampar (P070).

Pengerusinya, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, persempadanan semula itu boleh menyebabkan kerusi Parlimen Tapah serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning dan Chenderiang yang dimenangi BN sejak dahulu, kecundang pada pilihanraya umum akan datang.

Di samping itu, kata beliau, persempadanan semula itu juga belum tentu menjamin BN dapat merampas semula kerusi Parlimen Kampar daripada pembangkang.

Menurut beliau, disebabkan proses bantahan hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, pihaknya akan membuat bantahan melalui kerajaan negeri pada Rabu, manakala segala dokumentasi akan disusuli kemudian.

“Kita harapkan dengan gerak kerja bantahan yang dilakukan secara total ini, ianya mendapat hasil bahawa persempadanan semula bagi pilihanraya kawasan Parlimen Tapah, kita minta ianya dikekalkan sebagaimana pilihan raya umum ke 13 yang lalu,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil tiga PDM yang terlibat di pejabat BN Tapah pada Selasa.

Tiga PDM yang terlibat ialah Sungai Siput Selatan, Kampung Sahom dan Kuala Dipang.

Sementara itu, beberapa pengundi yang ditemui melahirkan rasa terkejut sambil menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai melulu, tanpa kajian terperinci.

Pazli Abdullah Sani dari Kampung Sahom berkata, dia dan rakan-rakanya terkejut kerana persempadanan semula itu tidak diwar-warkan dan di luar jangkaan.

“Tindakan ini satu tindakan yang melulu dan memberi kesan yang amat buruk kepada lanskap politik tempatan yang mana membuatkan mereka rasa macam satu tekanan kerana sebelum ini merasa amat selesa.

“Mereka menganggap SPR membuat satu tindakan tanpa membuat kajian yang terperinci dan pihak SPR pun tidak pernah kelihatan turun ke akar umbi ke PDM-PDM i untuk mendapat feedback daripada pengundi-pengundi,” ujarnya.

Shaadidun Johari dari Kuala Dipang pula melahirkan rasa bimbang kerana perkara itu berlaku dalam keadaan tidak ada angin tetapi pokok bergoyang.

“Kita sudah sekian lama dalam Parlimen Tapah, maka sudah tentulah terasa terkilan dengan perkara yang berlaku kerana pengundi-pengundi telah lama di bawah pengurusan dan seliaan Parlimen Tapah,” katanya sambil meminta agar ketiga-tiga PDM itu terus kekal di Parlimen Tapah.


141 views0 comments
bottom of page