Ipoh: Seramai 95 mangsa banjir dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di sekitar Pantai Remis,Teluk Intan dan Kuala Kurau berikutan kenaikan paras air pasang di kawasan tersebut.
Sumber daripada Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak menyatakan bahawa kesemua mangsa telah mula dipindahkan sejak awal pagi Selasa untuk memastikan keselamatan mangsa.
Menurut beliau, setakat 7 malam Selasa, antara kawasan yang terlibat adalah di Kg Bagan Panchor (Pantai Remis), Kg Teluk Selendang(Teluk Intan) dan Kg Nelayan ( Kuala Kurau).
" Seramai 15 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Panchor di Pantai Remis berikutan kenaikan paras air setinggi 0.3 meter namun ianya dilaporkan semakin surut.
" Manakala bagi daerah Teluk Intan dan Kuala Kurau, seramai 2 keluarga masih ditempatkan masing-masing di Sek Keb Tapak Semenang dan Dewan Orang Ramai Kg Nelayan,"katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Bomba, paras air di sekitar kawasan banjir Teluk Intan telah mencecah 1 hingga 3 kaki manakala fenomena air pasang surut berlaku di daerah Kuala Kurau.
Bomba juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan menggerakkan jentera operasi penyelamat daripada masa ke masa dalam memastikan keselamatan penduduk setempat.
Beliau juga turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak bomba dalam proses pemindahan agar semuanya berjalan dengan lancar.