MANJUNG: Seorang pekerja Klinik Kesihatan Changkat Keruing maut selepas kereta dipandu bertembung dengan treler hilang kawalan dari arah bertentangan di Jalan Batu 8 Segari, dekat sini, kira-kira jam 7.30 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata mangsa Mohamad Fariq Rasidi, 22, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecedera parah di bahagian kepala.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Seri Manjung menghala ke Pantai Remis manakala lori itu pula dari arah bertentangan.
“Apabila sampai ditempat kejadian, lori tersebut dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan mangsa dan melanggar tepat bahagian hadapan keretanya manakala kereta ketiga pula tidak sempat mengelak dan melanggar belakang lori itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Tambah beliau, pemandu lori itu Zamzuri Ahmad, 49 dan seorang lagi pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu, Dr. J. Hemalatha tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya lagi, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.