top of page
muinsapidin

Lebih 3,000 Penduduk Repoh Bayar Bil Air RM1 Sebulan

BATU KURAU: Apabila memikirkan soal bil air, maka sudah pasti masyarakat menganggap bayarannya mencecah puluhan ringgit, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

Namun, ia berbeza bagi lebih 3,000 penduduk Kampung Repoh, Batu Kurau apabila mereka hanya dikenakan RM1 sebulan atau RM12.00 setahun bagi bayaran bil air.

Menurut Ketua Kampung Repoh, Ismail Yahya, hampir 40 tahun 3,000 penduduk selesa menggunakan bekalan air bukit yang bersih dari Banjaran Bukit Bintang Hijau.

Beliau berkata, penduduk kampung amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak yang telah menyediakan kemudahan bekalan air bersih dari Banjaran Bukit Bintang Hijau dengan dikenakan bayaran RM1.00 sebulan atau RM12.00 setahun.

“Istimewanya, bekalan air bukit ini boleh digunakan dengan selamat tanpa dimasak seperti yang telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 1997,’’ katanya kepada Suara Perak pada Isnin.

Seorang suri rumah, Zuraidah Mohamad, 50, berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat menggunakan bekalan air bersih itu dengan hanya membayar RM1 sebulan, sekaligus dapat meringankan beban perbelanjaan seharian keluarga.

``Kalau ditempat lain mungkin saya tidak mampu membayar bil air yang mungkin mencecah puluhan ringgit, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Zuraidah, dia dan keluarga akan terus menetap di Kampung Repoh yang selama ini merupakan kampung halaman mereka.


33 views0 comments
bottom of page