Trend hari ini ‘cool’ dan ‘hip’ yang kini menjadi ikut-ikutan generasi muda perlu dipantau supaya ia tidak menengelamkan budaya dan tradisi turun temurun rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, generasi muda perlu sentiasa diingatkan supaya bersederhana dalam mengikuti trend perubahan zaman tanpa membiarkan budaya dan tradisi yang diwarisi tidak menjadi korban.
Katanya mereka perlu tahu menghargai serta mempertahankan budaya dan tradisi yang ada supaya Malaysia terus dikenali sebagai negara yang beridentitikan budaya unik.
“Budaya yang lebih bersifat trendy itu ketika ini perlahan-lahan mengambil alih budaya sebenar kita yang telah sekian lama diwarisi daripada generasi ke generasi.
“Jangan salah anggap, ianya tidak salah untuk mempunyai budaya baharu tetapi jika sampai meminggirkan budaya dan tradisi kita yang sebenar itu tidak patut berlaku.
“Budaya sebenar kita melambangkan kita sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa…kita terkenal dengan budaya dan tradisi itu dan ia sangat unik dan dikagumi di seluruh dunia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Kesenian Jalinan Mesra “2” Benua peringkat Antarabangsa 2016 di Ipoh pada Isnin.
Program tersebut melibatkan enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Romania dan Turkey.
Pada majlis penutup yang diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak itu, delegasi setiap negara turut membuat persembahan tarian dan kebudayaan mewakili negara masing-masing.
Nolee Ashilin berkata, menerusi program tersebut masyarakat mampu untuk menghidupkan semula nilai dan kepentingan seni, tradisi dan budaya di kalangan generasi muda.