IPOH: Satu lagi laporan polis dibuat oleh sekumpulan 50 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari seluruh negeri Perak terhadap kenyataan Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi, yang memuat naik kenyataan tidak sensitif sebagai ucapan takziah atas pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
Diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat, Shamsul Baharin Putra, kesemua wakil NGO seramai 100 orang itu turut menggesa agar pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan keras ke atas tindakan Jeff Ooi yang seolah-oleh tidak menghormati antara pemimpin agama Islam tersohor itu.
Baru-baru ini, Jeff Ooi telah memuat naik kenyataan “Adios Haron Din. Let there be peace” menerusi akaun Twitter peribadinya yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Exco Pemuda UMNO Malaysia itu turut berkata bahawa tindakan pemimpin DAP berkenaab sebenarnya menunjukkan sifat beliau yang seperti menghina Dr Haron Din secara sengaja dalam bahasa Latin malah tidak menghormati agama Islam serta waris keluarganya.
" Apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Jelutong adalah menyatakan perkataan Adios, iaitu selamat jalan atau boleh ditafsirkan sebagai berambus terhadap Dr Haron Din, adalah satu tindakan mempersenda pemergian arwah dan ayat tersebut adalah tidak manis.
"Saya cuma nak tanya semasa kematian mendiang Karpal Singh, adakah terdapat sebarang perkataan tidak elok dikeluarkan oleh rakyat Malaysia, malah ini pula tokoh (Dr Haron Din) yang amat dihormati dan disegani oleh banyak pihak," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melakukan laporan polis di Balai Polis Sungai Senam pada pagi Isnin.
Shamsul berkata beliau ingin pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan selanjutnya agar menjadi pengajaran dan iktibar buat semua pihak.
Dalam perkembangan lain, pihaknya turut melakukan satu lagi laporan polis mengenai perhimpunan "aman" Bersih 5.0 yang merupakan rentetan himpunan mempertikaikan kepimpinan kerajaan sejak tahun 2007.
Dijangka bakal diadakan pada 15 November hadapan, Shamsul berkata penganjurnya iaitu Marina Chin Abdullah akan melaksanakan beberapa siri jelajah pengenalan Bersih 5.0 di beberapa lokasi bermula pada 1 Oktober hadapan dan antaranya adalah di Lumut, Perak.
Presiden Anak Perak, Faizal Effendi Hasim berkata, sebagai bekas Pengarah Strategi PKR Malaysia, beliau tahu perancangan dan strategi Bersih 5.0 adalah untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai bekas Ketua Pemuda PKR Perak, Faizal berkata beliau pernah membantu menggerakkan jentera Bersih 1.0 pada tahun 2007 dan intipati utama perhimpunan itu adalah untuk menimbulkan kebencian menebal buat institusi kerajaan.
" Ini sebenarnya salah satu taktik kotor mereka untuk mendapatkan sokongan daripada mahasiswa, strategi utama mereka adalah kononnya ianya perhimpunan damai tetapi sebaliknya ianya adalah untuk menggesa kerajaan sedia ada untuk bubar.
" Saya tahu, saya pernah terlibat dahulu, justeru saya harap pihak polis dapat memberkas petualang Bersih 5.0 ini secepat mungkin agar ianya tidak mengganggu gugat keharmonian negara sedia ada,"katanya.
Faizal berkata selain tidak menghormati sistem demokrasi negara ini mereka juga secara tidak langsung mencemarkan kewibaan, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang melantik Perdana Menteri Malaysia ini serta mencemar Perlembagaan Negara yang telah mengesahkan perlantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.