top of page
muinsapidin

Warga Emas Rindu Bertemu Anak-Anak

IPOH: Kisah seorang warga emas yang kini terlantar di Wad 2C, Hospital Teluk Intan mahu berjumpa dengan anak-anak dan cucu-cucunya sebelum pergi buat selama-lamanya telah diviralkan secara meluas di dalam media sosial.

Abdullah Misdal Abdullah, 81, dari Kampung Air Hitam, Batu 15, Jalan Bidor yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 16 September lalu amat merindui seluruh ahli keluarga, khususnya empat anaknya yang sudah lebih 4 tahun tidak ditemuinya.

Menurut Abdullah, bekas pekerja Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), empat orang anaknya itu sudah lama berhijrah ke tempat lain mengikut haluan masing-masing, antaranya anak sulungnya berusia 63 tahun di mana kali terakhir beralamat di Sabak Bernam, Selangor.

Anak keduanya berusia 60 tahun kali terakhir diketahui menetap di Felda Besout 4, Slim River, anak ketiga berusia 50 tahun menetap di Felda Serting, Negeri Sembilan manakala anak bongsu berusia 40 tahun tidak diketahui lokasinya.

Abdullah yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan juga masalah pembuangan air kencing serta menghadapi masalah pendengaran berkata, kesemua anaknya itu adalah lelaki dan sudah empat tahun dia tidak dapat berhari raya dengan mereka.

``Luluh hati saya setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal, saya sudah uzur tidak secergas dulu dan sejak diserang penyakit kronik ini saya tidak dapat bekerja seperti dulu.

``Sejak kebelakangan ini saya mula merindui anak-anak dan cucu-cucu saya, saya tidak ingat berapa ramai cucu saya namun saya amat berharap untuk bertemu mereka sebelum saya pergi buat selama-lamanya,’’ katanya.


5 views0 comments
bottom of page