IPOH: Seorang warga emas Orang Asli dikhuatiri sesat dan hilang dalam hutan berhampiran Kampung Kerawat Simpang Pulai dekat sini sejak tiga hari lalu.
Gambar Hiasan
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Simpang Pulai, Ali Hiari berkata, mangsa Long Ngah, 80, yang menghidap penyakit hilang ingatan dikhuatiri telah sesat di hutan sekitar rumahnya.
"Jam 10.40 pagi tadi pihak polis telah memaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki Orang Asli berumur 80 tahun, hilang ingatan telah sesat di hutan sejak Jumaat lalu.
"Anggota telah membuat pencarian di kawasan kampung mangsa tetapi masih belum berjaya ditemui," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Tambah beliau operasi mencari sedang giat dijalankan dan pihaknya kini meluaskan pencarian di hutan belakang rumah mangsa.