KUALA SEPETANG: Program Jalinan Mesra Dua Benua antara Asia dan Eropah berjaya menonjolkan Pusat Eko Pendidikan Hutan Paya Bakau Kuala Sepetang sebagai produk pelancongan terkenal Perak dipersada dunia.

Seramai 150 delegasi dari Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Romania dan Turkey yang dibawa melawat ke pusat berkenaan sempena program itu pada Ahad memuji usaha kerajaan Perak menjadikan hutan paya bakau Kuala Sepetang bukan sahaja sebagai Pusat Eko Pendidikan malah produk pelancongan terkenal dunia. Menurut Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama, Aminudin Mohd Nor, program anjuran Jabatan Pendidikan dan Jabatan Hutan Perak itu memberi peluang kepada delegasi untuk menanam pokok bakau dan merasai sendiri suasana ketika berada di hutan berkenaan.

"Program ini memberi pengertian yang amat bermakna bagi para delegasi kerana rata-rata mereka merasa amat kagum apabila melihat keindahan dan kehijauan hutan paya bakau yang terdapat di negeri Perak. "Mungkin satu masa nanti mereka akan datang balik ke sini untuk melihat pokok yang mereka tanam itu dan saya rasa ini menjadi satu perkara yang kita rasa boleh menyentuh hati para pelancong untuk datang lagi ke Perak,’’ katanya. Seorang delegasi India, Avani P. Pagar, 26, yang menyertai program itu kagum melihat keindahan dan kehijauan hutan paya bakau Kuala Sepetang yang disifatkannya sebagai paling menarik untuk dikunjungi para pelancong dunia.

"Saya begitu terpikat sekali apabila melihat kehijauan hutan paya bakau ini dan juga berpeluang menanam pokok bakau untuk merasai sendiri suasana di dalam hutan ini. "Sebagai deleasi program ini saya yakin hutan paya bakau ini mampu menjadi satu kawasan tarikan pelancong terkenal dunia,’’ katanya. Seorang lagi delegasi dari Jakarta, Indonesia, Sandra Forina, 29, memuji usaha kerajaan negeri Perak dalam memulihara hutan paya bakau secara lebih berkesan dan mampu menjadikannya sebagai kawasan tarikan pelancong terkenal dunia. Menurut beliau, program ini amat bertepatan sekali kerana ia memberi peluang kepada delegasi melawat dan menimba ilmu tentang hutan paya bakau Kuala Sepetang yang sememangnya terkenal sebagai salah satu kawasan tarikan pelancong di Malaysia. "Memang di Indonesia sekarang sedang digalakkan untuk menanam satu pohon bagi anak anak dan mengurangi sampah dan sebagainya. "Kita tahu negara Asia merupakan paru paru dunia atau Lung of The World so kita menciptakan lagi hutan-hutan yang sudah musnah sememangnya akan membawa kebaikan kepada dunia,’’ katanya.