IPOH: Seorang tukang cuci terkejut apabila menemui mayat bayi yang sudah busuk dan berulat ketika sedang memunggah tong sampah di berhampiran kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini pagi Sabtu.
Nor Hanizam Idris, 46, berkata dia terjumpa mayat bayi itu selepas bungkusan plastik yang diambil dari tong sampah itu terjatuh ke atas lantai. Katanya, dia sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di perkarangan hospital bersama rakan-rakan ketika terjumpa bungkusan itu pada 10.55 pagi.
"Semasa saya sedang memunggah sampah daripada tiga buah tong, terdapat satu bungkusan plastik terjatuh ke atas lantai. "Saya terkejut apabila melihat objek yang terkeluar dari bungkusan itu menyerupai bayi dan sejurus selepas memeriksa saya mendapati objek tersebut merupakan mayat bayi yang cukup sifat namun telah busuk dan berulat," katanya ketika ditemui di sini pada petang Sabtu. Tambahnya,beliau pada mulanya tidak pasti dengan objek yang dijumpainya berikutan saiz bayi itu yang kecil dan memanggil rakan-rakannya untuk kepastian. "Selepas rakan-rakan mengatakan objek itu adalah mayat bayi, saya terus bergegas membuat laporan polis di pondok polis hospital," katanya lagi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sejurus menerima maklumat, pihaknya ke lokasi penemuan mayat itu yang terletak di luar bangunan kafeteria hospital tersebut. Katanya, mayat yang belum dikenal pasti jantina dan bangsa itu telah dijumpai pekerja pembersihan sebelum melaporkan kepada polis. "Seorang pengawal keselamatan hospital memaklumkan bahawa dia ada ternampak seorang lelaki dan wanita bertengkar berhampiran tempat mayat itu dijumpai pada pagi Isnin lepas. "Mayat bayi itu telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasatan pada Isnin ini," katanya. Sum berkata, pihaknya sedang mengesan saksi-saksi yang melihat kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk siasatan.