top of page
muinsapidin

Khidmat Transformasi Komuniti Bergerak Diperluas Ke Luar Bandar

SUNGAI SIPUT: Program Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang berkonsepkan `kerajaan mencari rakyat dan bukan rakyat mencari kerajaan’ akan diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Sri S.K Devamany, 15 pelbagai agensi kerajaan yang terbabit dengan program itu akan menggunakan kenderaan bergerak untuk menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, di Perak sebagai contohnya, program tersebut akan diperluaskan di kawasan pedalaman Orang Asli di Sungai Siput.

`` Saya telah meminta ADUN Lintang, Datuk Zolkafli Haron mengenalpasti kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman bagi membawa program ini ke sana supaya masyarakatnya mendapat perkhidmatan terbaik yang disediakan kerajaan,’’katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Komuniti Bergerak ( Mobile CTC) dan Karnival Hari Malaysia Peringkat Daerah Kecil Sungai Siput di Felda Lasah Sungai Siput pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kanan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Zolkafly.

Sementara itu beberapa orang pengunjung yang ditemui mencadangkan supaya program transformasi komuniti itu diadakan lebih kerap dan diperluaskan ke kawasan luar bandar dalam memastikan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Seorang pengunjung, Faridah Sulaiman, 40, dari Felda Lasah, Sungai Siput menyambut baik usaha kerajaan hendak memperluaskan program itu ke kawasan luar bandar kerana ia membantu menjimatkan masa dan perbelanjaan rakyat apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang.

``Dengan adanya perkhidmatan kaunter yang disediakan oleh agensi kerajaan maka ia dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan rakyat tanpa perlu lagi berurusan di bandar,’’ katanya.

Seorang pengunjung, Mohd Adha Abdul Wahid, 29 dari Chemor pula berpendapat program transformasi komuniti bertepatan pada masanya kerana ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat tanpa perlu lagi berurusan ke bandar.

``Program seperti ini memudahkan rakyat di luar bandar untuk berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan seperti membuat kad pengenalan dan memperbaharui lesen memandu,’’ katanya.


51 views0 comments
bottom of page