top of page
muinsapidin

Kebakaran Kilang Kimia Berjaya Dikawal

IPOH: Kekecohan mengenai kebocoran bahan kimia di sebuah kilang yang menghasilkan produk alkali-klorin di Kampung Baru, Bukit Merah di sini akhirnya berada dalam keadaan terkawal.

Sebelum ini, terdapat beberapa penduduk yang cemas akibat terdengar dentuman kuat daripada kilang berskala besar di Menglembu itu diikuti dengan bau tengik dan busuk kimia yang berlegar sejauh 500 meter daripada lokasi kilang berkenaan di sekitar kawasan perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam penjelasannya berkata, ianya bukanlah letupan kimia atau kebocoron ammonia seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Sebaliknya, Dr Mah menjelaskan bahawa bunyi kuat dan bau tersebut berpunca daripada kebocoron sebuah tangki yang mengandungi asid ferik.

" Tangki yang mengandungi asid ferik tersebut telah terjatuh, dan menyebabkan tumpahan asid ke tempat takungan peluntur, dan kesan tindak balas kimia tersebut telah menyebabkan terhasil klorin sebagai produk sampingan atau by-product.

" Gas klorin itulah yang sebenarnya membuatkan penduduk di tempat berkenaan terhidu bau tengij dan tajam serta busuk di udara," katanya kepada pemberita dalam sidang media di hadapan kilang kimia berkenaan berhampiran kawasan perindustrian Bukit Merah, Menglembu, di sini pada petang Sabtu.

Dr Mah berkata, beliau telah menjalankan perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Alam Sekitar dan pihaknya akan memastikan pemantauan berkala dilakukan bagi memastikan operasi sekitar kilang berkenaan menepati piawaian supaya tidak mendatangkan bahaya kepada persekitaran dan penduduk.

Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Kimia dan Hazmat BBP Pasir Puteh, Mohd Khairul Jamil berkata, hasil pemantauannya mendapati kadar pH di kawasan berkenaan telah mencapai purata stabil dan operasi pembersihan dan penstabilan kimia juga telah ditamatkan sepenuhnya.

"Bacaan pH buat masa ini adalah 4, dan kemungkinan dia akan naik atau turun, justeru saya akan menempatkan sebuah jentera di kawasan kilang ini sebagai langkah berjaga-jaga, kita tidak tahu sekiranya terdapat kebocoran berulang dan sebagainya.

" Selain itu, kita juga telah bekerjasama dengan Pasukan Maklum Balas Kecemasan ( ERP) yang sememangnya tersedia di mana-mana kilang untuk berhadapan dengan kes sebegini, kita akan pastikan kesemua bahan kimia telah distabilkan agar tidak mendatangkan kesan kepada semua," katanya dalam sidang media berkenaan.

Pakar kimia daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat itu turut memberi jaminan bahawa kesan daripada klorin akan mendatangkan iritasi kepada mata dan menyebabkan sesak nafas namun ianya tidak akan mendatangkan maut.

Khairul berkata, dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, dua orang pekerja daripada kilang berkenaan yang berada di tempat kejadian telah dihantar ke klinik dan hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Selain itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh juga telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami dehidrasi dan keletihan setelah bertungkus lumus dalam operasi pembersihan yang memakan masa hampir dua jam itu.

"Seorang daripada anggota bomba mengalami beberapa simptom serius seperti sesak nafas, muntah, iritasi mata dan pening dan kini mendapatkan rawatan lanjut.

"Selebihnya mengalami kepenatan kerana terpaksa membawa lima tan sodium bersama bagi proses penstabilan kimia kerana tidak sempat menunggu jentera pengangkut," katanya lagi.


17 views0 comments
bottom of page