Ke mana dan apakah nasib ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sekiranya objektif untuk mengulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berjaya dicapai soal Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata soalan itu perlu dijawab dan dijelaskan oleh pengasas parti itu Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ahli PPBM.
"Objektifnya jelas mahu jatuhkan Najib jadi persoalannya di sini, sekiranya mereka berjaya apa yang akan jadi kepada ahli? Parti sudah tentu terkubur kerana objektif dah tercapai.
"Bagaimana pula dengan harapan mereka yang telah digula-gulakan untuk menjadi ahli, memegang jawatan di peringkat cawangan dan sebagainya?," soal beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Larut di Bukit Merah pada Sabtu.
Menurut beliau, ahli PPBM seharusnya mempertimbangkan masa depan mereka kerana parti tersebut tidak mempunyai visi dan wawasan yang jelas.
Katanya, parti itu ditubuhkan hanya semata-mata untuk memperjuangkan agenda peribadi Mahathir dan Muhyiddin dengan mempergunakan ahli-ahlinya.
"Saya rasakan ramai daripada mereka akan ditipu dan ditinggal begitu sahaja walaupun selepas mereka berpatah arang dengan UMNO demi Mahathir atau Muhyiddin.
"Mereka perlu berterus terang dengan ahli-ahli bahawa perjuangan mereka ini hanya untuk jatuhkan Najib. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu," ujarnya.