IPOH: Sekumpulan peniaga barang mainan di taman rekreasi Padang Polo merayu kepada pihak berwajib untuk mengeluarkan lesen perniagaan dan sebuah kawasan niaga yang sesuai bagi mereka mencari sesuap nasi.
Sebelum ini, viral beberapa cerita mengenai keputusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menghentikan operasi perniagaan makanan serta peralatan mainan seperti basikal dan 'roller blade' di kawasan Dataran KTM, Ipoh.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Barang Mainan Rekreasi Daerah Kinta, Muhd Mukhtar Asli berkata, setelah diarahkan oleh MBI untuk menghentikan operasi, mereka kemudiannya berpindah ke Padang Polo, seperti yang telah disyorkan oleh pihak majlis itu.
" Terdapat 13 peniaga barang-barang mainan seperti basikal dan skuter bateri, airwheel, roller blade dan juga beberapa alat mainan yang selama ini mencari rezeki di Dataran KTM menurut perintah MBI dan pergi ke Padang Polo tetapi selepas enam bulan, kami diserbu beberapa kali dan barang-barang kami juga dirampas.
" Kami bukanlah ingin melakukan perniagaan ini sesuka hati tanpa kebenaran dan sengaja melanggar undang-undang, kami cuma hendak diberikan peluang berniaga dan mencari rezeki kerana inilah satu-satunya punca rezeki kami, kami mohon tempat berniaga dan lesen sah daripada pihak berwajib, itu sahaja,"katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di kawasan rekreasi Padang Polo pada Sabtu.
Menurutnya, mereka ada mengajukan perkara tersebut kepada MBI dan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan selanjutnya, namun setelah tiga tahun berlalu, setiap perbincangan seperti tidak membuahkan sebarang hasil dan jalan penyelesaian yang muktamad.
Jelasnya, pihaknya melaksanakan perniagaan itu kerana terdapat permintaan daripada pelanggan dan berasa agak kecewa kerana tiada sebarang jaminan mengenai lokasi perniagaan yang sesuai buat kesemua peniaga tempatan itu.
Setiausaha Persatuan, Azrina Abdul Kadir pula menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa alasan untuk menghentikan perniagaan barangan mainan mereka adalah disebabkan aduan daripada pengguna Padang Polo yang menyatakan gangguan kepada aktiviti riadah mereka.
" Kami diberhentikan dari menjalankan operasi di Dataran KTM, kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas malah mengatakan kami menghalang orang ramai untuk berjoging di sini pula sekarang, sebenarnya kami cuma ingin satu kawasan niaga sesuai.
" Jika benar kami mengganggu, nyatakan masa, lokasi dan lesen secara prosedur yang betul, kami sedia membayar dan berbincang untuk melaksanakannya secara betul, tapi janganlah buat kami terumbang-ambing begini, merampas barangan kami.
" Malah, setiap barangan sitaan akan dikenakan kompaun sebanyak RM450, pendapatan kami pun tidak seberapa, jadi apa sebenarnya kami hendakkan dan rayu adalah maklum balas daripada MBI, PBT dan jalan penyelesaian," rayunya lagi.
Azrina berkata, beliau agak hairan dengan keputusan MBI yang mengatakan perniagaan para pengusaha barang mainan rekreasi di Padang Polo mengganggu orang ramai sedangkan tidak pernah diwartakan padang itu sebagai kawasan hanya untuk berjoging sahaja.
Tegasnya, perniagaan barang mainan skuter di Dataran KTM yang dimulakan persatuannya adalah perintis kepada beberapa tempat dengan tawaran perkhidmatan serupa seperti di Lumut, Taiping dan Kuala Kangsar.
Cuma satu yang membezakannya, kata beliau, ialah kesemua mereka mempunyai lesen perniagaan yang sah.
Justeru itu, Azrina berharap perkara tersebut boleh dipertimbangkan secara telus oleh pihak berwajib agar mereka boleh kembali menjalankan perniagaan tanpa sebarang rasa takut bakal diserbu oleh pihak berkuasa.