SUNGAI MANIK: Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memandang remeh kemungkinan teori satu lawan satu yang dikemukakan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, kemungkinan itu boleh berlaku kerana parti-parti pembangkang memang sudah lama bercita-cita untuk menumbangkan UMNO dan BN.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin dan ahli parti supaya sentiasa bersiap sedia untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai dakyah dan fitnah yang dimainkan pembangkang.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat bahawa parti-parti pembangkang tidak mungkin dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana masing-masing mempunyai agenda perjuangan sendiri.
“Dasar-dasar parti mereka, kalau mereka berjaya membentuk kerajaan, ia tidak menjamin masa depan sebuah negara dan rakyat Malaysia berbilang kaum dan tidak menjamin masa depan orang Melayu,” katanya.
Beliau ditemui selepas Jamuan Perdana Aidiladha 1437H dan penyampaikan Insentif NKEA Padi EPP II musim 1 / 2016 di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Manik / Labu Kubong, dekat sini pada Khamis malam.
Sehubungan itu, Tajudin meningatkan rakyat, khususnya pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji parti-parti pembangkang.
“Jika terjebak, kita akan menuju kepada sebuah negara yang porak peranda, seperti apa yang berlaku di beberapa buah negara di Timur Tengah,” ujar beliau.
Pada majlis itu, belia menyampaikan insentif sebanyak RM1.373 juta kepada peserta di kawasan Sungai Manik / Labu Kubong.
Tajudin memberitahu, sejak skim tanaman padi itu diperkenalkan di kawasan tersebut pada tahun 2013, seramai 326 peserta telah memperolehi insentif berjumlah RM7.857 juta.