top of page
muinsapidin

Hujan Tidak Halang 200 Penduduk Sambut Hari Malaysia

IPOH: Hujan tidak menghalang kira-kira 200 penghuni pelbagai kaum di Pangsapuri Taman Harmoni, Buntong untuk berhimpun beramai-ramai bagi menzahirkan semangat kecintaan mereka kepada negara sempena Hari Malaysia Ke-53 hari ini.

Mereka mula berhimpun di perkarangan pangsapuri taman berkenaan sejak jam 8.00 pagi sambil membawa jalur gemilang bagi menyaksikan Program Pelancaran Konvoi 55 buah kereta dari Kelab Kereta anjuran MyPPP Parlimen Ipoh Barat sempena Hari Malaysia 2016.

Beberapa orang penduduk yang ditemui menyifatkan pemilihan Pangsapuri Taman Harmoni Buntong sebagai tempat pelancaran program itu sebagai amat bertepatan dengan Hari Malaysia kerana penduduknya yang sentiasa hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Seorang penduduk, Helen Kunjanbu, 56, berkata, beliau amat teruja menyambut Hari Malaysia kerana selama ini dapat hidup bersama keluarga dan jiran-jiran dalam suasana aman dan damai tanpa sebarang kekacauan.

``Hari Malaysia ini merupakan satu hari bersejarah yang kita sebagai rakyat Malaysia harus meraikannya dalam suasana ceria dan gembira.

``Kita rakyat Malaysia amat bertuah kerana negara bebas daripada sebarang bentuk ancaman berbanding beberapa negara lain yang sentiasa berperang sehingga rakyatnya menderita,’’ katanya.

V. Shirley Ann, 40, pula berkata, beliau merasa amat bertuah menjadi rakyat negara ini kerana Malaysia bebas daripada sebarang bentuk ancaman luar kerana kebijaksanaan pemimpin dan pemerintahnya.

``Sudah lapan tahun saya tinggal bersama suami dan anak-anak di Pangsapuri Taman Harmonoi di mana saya dapati penghuninya yang berbilang kaum bersatupadu, suka bantu membantu antara satu sama lain,’’ katanya.

Bagi Ketua MyPPP Bahagian Tapah, Dr R. Linggeshh yang turut menyertai program itu, menyifatkannya sebagai platform memantapkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan penduduk pangsapuri Taman Harmoni.

``Lihat sahaja seawal-awal pagi walaupun hujan turun, namun ia tidak menghalang mereka untuk menjayakan program ini semata-mata kerana mahu membuktikan semangat kecintaaan mereka kepada negara,’’ katanya.

Pengerusi MyPPP Parlimen Ipoh Barat, K. Christopher pula berkata, program yang diadakan itu selain menjayakan Hari Malaysia ia menjadi platform bagi memantapkan lagi semangat perpaduan di kalangan rakyat.

``Pengertian perpaduan perlu dilihat secara positif untuk membina serta mengukuhkan keharmonian,’’ ujarnya.


15 views0 comments
bottom of page