top of page
muinsapidin

42 Pasangan Dinikahkan Serentak Dalam Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie

SERI ISKANDAR: Seramai 42 pasangan Islam selamat dinikahkan serentak dalam Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah di sini pada Jumaat.

Lebih bermakna apabila mereka diijabkabulkan ketika negara merayakan sambutan Hari Malaysia.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) adalah kali keempat, yang antara lain bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan pasangan di samping untuk mengimarahkan masjid.

Setiap pasangan hanya dikenakan bayaram RM1,500, termasuk jamuan, penginapan di hotel dan majlis resepsi yang diadakan di sebelah malam di Dewan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dijangka dihadiri lebih 1,000 ahli keluarga pengantin.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, jika tahun-tahun lalu majlis itu diadakan di Ipoh, mulai tahun ini ia akan diadakan di daerah-daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria menasihatkan pasangan pengantin supaya menjalani kehidupan rumahtangga dengan baik dan sabar sehingga ke akhir hayat.

"Kehidupan berkeluarga sudah tentu menghadapi pelbagai cabaran, namun sebagai suami dan isteri perlu ada nilai toleransi untuk mendapat keberkatan Allah," katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.

Beberapa pasangan pengantin baru yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana mereka diijabkabulkan pada Hari Malaysia dalam majlis yang penuh bermakna.

Pasangan termuda, Muhamad Aidil Amin Hasbullah, 19, dan isterinya, Wan Hanid Syafiqah Wan Yahya, 21, berkata, mereka telah bersedia untuk hidup berkeluarga walaupun pada usia muda.

"Hubungan kami mendapat restu dari kedua-dua belah keluarga dan kami tambah gembira apabila dinikahkah hari ini, ketika semua orang menyambut Hari Malaysia, " kata Muhamad Aidil Amin sambil diakui isterinya yang sama-sama berasal dari Kuala Kangsar.

Bagi Hairul Azizul Haris dan isteri, Nurbalkish Rusli, program seumpama itu sangat baik kerana ia sangat menjimatkan kos di samping dapat menjalinkan silaturrahim antara pasangan yang mengambil bahagian.

"Program sebegini perlu diadakan lebih banyak bagi memberi peluang lebih ramai lagi pasangan mendapat peluang merasai saat-saat bahagia yang penuh makna seperti ini," katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang yang bertemu jodoh dengan warga Seri Iskandar.

Aminudin Satikin, 26, dari Selekoh, Bagan Datoh menyifatkan hari ini penuh bersejarah kerana diijabkabulkan dengan isterinya, Elfinahlis Mabang, 25, seorang saudara baru dari Kudat, Sabah selepas berkenalan melalui aplikasi Weechat.

"Saban tahun, kami akan meraikan hari penuh bersejarah ini ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia, syukur alhamdulillah," katanya yang bertugas di Cyberjaya manakala isterinya di Hospital Taiping.


76 views0 comments
bottom of page