GERIK: Polis meminta kerjasama orang ramai tidak agar tidak berkongsi berita di media sosial serta memperbesarkan kisah seorang kanak-kanak yang dikatakan hampir diculik ketika sedang bermain di Taman Angsana, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Pemangku Superitendan Jamalani Md Isa mengesahkan menerima laporan berhubung insiden yang dikatakan berlaku pada 13 September.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan yang dijalankan pasukan polis tidak menjumpai sebarang pentunjuk untuk mengaitkan laporan itu dengan kes penculikan.
Malah, beliau berkata siasatan lanjut telah dibuat dengan anggota polis ke tempat kejadian tetapi tidak menjumpai sebarang penemuan kewujudan suspek atau sebarang kebarangkalian untuk kes tersebut berlaku.
"Kita tidak membuat andaian namun kita harap masyarakat tidak mudah percaya dengan dakwaan mengatakan terdapat van dari Thailand yang mahu menculik kanak-kanak di sini hanya kerana nombor pendaftara kenderaan itu adalah dari Thailand semata-mata.
"Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain di situ dan dikatakan ternampak beberapa lelaki datang ke arahnya. Mungkin kerana perasaan takut, dia kata lelaki itu mahu menculiknya.
"Umur kanak-kanak itu sembilan tahun jadi mungkin dia berasa takut apabila lihat orang luar datang ke kawasan permainannya dan itu adalah prasangka,"katanya.
Jamalani berkata apabila kanak-kanak itu mengadu perkara itu kepada ibunya, wanita tersebut merasakan kemungkinan anaknya cuba diculik disebabkan nombor pendaftaran kenderaan itu dari Thailand.
"Bila ada saja van dari Thailand, penduduk di sini cenderung untuk mengaitkannya dengan kes penculikan walaupun tiada sebarang bukti.
"Siasatan berhubung kes ini telah dibuat dan buat masa ini kita terus melakukan pemantauan. Tiada suspek mahupun petunjuk dijumpai dalam siasatan kes ini.
"Saya harap penduduk tidak menghebohkan berita sebegini yang kita tidak pasti kesahihannya. Bila tersebar sebegini, ia menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat," ujarnya lagi.
Difahamkan,eorang kanak-kanak lelaki menyorok di dalam longkang kerana bimbang diculik beberapa lelaki ketika sedang bermain di sebuah taman permainan di sini.
Menurut sumber, kanak-kanak itu kemudiannya pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan dan menangis sebelum menceritakan apa berlaku kepada ibunya.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, ibunya kemudian membuat laporan polis mengatakan anaknya mungkin cuba diculik van dipercayai datang dari negara jiran itu.