top of page
muinsapidin

KADIR Anjur Program Air Mata Arafah Di Kampung Orang Asli

IPOH: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) menganjurkan Program Air Mata Arafah sempena majlis korban untuk masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan Simpang Pulai, dekat sini.

Majlis yang diadakan di Kampung Lalang pada Khamis itu dianjurkan bersama Kelab Bakti Gunung Keledang (Kelab Keledang) yang juga bapa angkat kampung tersebut sejak enam tahun lalu.

Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, sebanyak dua ekor lembu dikorbankan di kampung itu untuk diagih-agihkan kepada kira-kira 150 keluarga Islam daripada 12 buah kampung di kawasan berkenaan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya juga menyampaikan sumbangan kotak makanan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) kepada penduduk kampung, bagi meringankan beban mereka.

“Tahun ini pertama kali kita buat di kawasan ini kerana lazimnya kita laksanakan di perkampungan Orang Asli di sekitar Sungai Siput,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis penyampaian itu.

Hadir sama Presiden Kelab Keledang, Toh Muda Azman Datuk Seri Yeop Junior, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dan Pengerusi Biro Kebajikan Kelab Keledang, Datuk Dr Zakaria Abd Kadir.

Di dalam ucapannya, Azhar yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Perak berkata, kerajaan tidak pernah melupakan masyarakat Orang Asli yang terdapat di seluruh negeri ini.

Bagaimanapun, kata beliau, masyarakat Orang Asli juga mestilah bersedia untuk mengubah kehidupan mereka sendiri.

“Susah bukan penghalang, kita perlu terus berusaha, lebih-lebih lagi memajukan diri dalam bidang pendidikan dan kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu, selebihnya kita berserah kepada Allah,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Zakaria berkata, sejak menjadi kampung angkat Kelab Keledang pada 2010, pelbagai perubahan telah berlaku di Kampung Lalang, termasuk pembinaan sebuah surau diri Jumaat.

Antara perubahan lain di Kampung Lalang yang mempunyai 45 keluarga ialah mempunyai pasukan nasyid, sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak telah khatam al – Quran dan tiga orang, masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki telah berjaya melanjutkan pelajaran ke USAS telah memperolehi keputusan peperiksaan semester lalu lebih 3.3 GPA.

Dalam hubungan ini, Azhar mengumumkan bahawa pihak KADIR bersetuju memberi sumbangan wang tunai kepada 10 anak-anak kampung itu yang telah khatam al – Quran.


54 views0 comments
bottom of page