BAGAN SERAI - Hari kedua perayaan Aidiladha bertukar tragedi buat sebuah keluarga apabila rumah mereka 'terkorban' sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Parit Haji Sulaiman, Sungai Bogak di sini lewat petang kelmarin.
Lebih pilu, kejadian kebakaran itu turut memusnahkan harapan seorang anak kecil, Nurhanis Fatihah Awangku Farid,3, untuk meraikan majlis sambutan hari lahir bersama keluarga tercinta semalam, apabila persiapan majlis terjejas sepenuhnya.
Anak pemilik rumah, Awangku Farid Hamid,28 berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, tiga mangsa terlibat iaitu ibunya, Saniah Che Mat,70, isteri, Fatin Hazwani Shaari,28, dan anaknya Nurhanis Fatihah sedang berada di rumah itu.
Menurutnya, semasa kejadian berlaku, dia berada di pasar awam Bagan Serai untuk membantu bapanya, Hamid Kasim,80, berniaga.
"Berdasarkan keterangan isteri, sewaktu kejadian, ibu saya berada di luar rumah, manakala isteri dan anak berada di dalam rumah, memasak bagi menyiapkan persiapan sambutan hari jadi anak yang sepatutnya diraikan hari ini(semalam).
"Kejadian disedari apabila isteri memaklumkan bekalan elektrik terputus kepada ibu, apabila ibu hendak memeriksa kotak fius elektrik di tingkat atas rumah, dia terkejut api di bahagian atas sudah marak,"katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.
Turut hadir menziarahi keluarga mangsa kebakaran adalah Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda Pas kawasan Bagan Serai, Mohd Zawawi Abu Hassan.
Awangku Farid yang juga guru KAFA berkata, sebaik mengetahui api kebakaran marak di tingkat atas rumah, ibunya bingkas turun dan menjerit menyuruh isterinya segera keluar dari rumah bersama anak, Nurhanis Fatihah.
Menurutnya, ibunya turut cuba naik ke tingkat atas rumah sekali lagi bagi menyelamatkan dokumen penting dan wang tunai, namun gagal kerana keadaan api semakin marak.
"Sebaik dihubungi jiran, saya dan bapa lalu bergegas pulang ke rumah dan mendapati rumah telah musnah terbakar.
"Sebuah motosikal turut terbakar dalam kejadian itu manakala sebuah kereta milik saya jenis Kelisa sempat diselamatkan oleh jiran setempat,” katanya.
Awangku Farid berkata, dia bersyukur kerana isterinya Fatin Hazwani, ibunya dan anaknya terselamat dalam kejadian itu.
Menurut beliau walaupun beliau sedih dengan kejadian itu kerana harta benda termasuk beberapa dokumen dirinya dan ahli keluarga beliau tidak dapat diselamatkan.
"Kejadian berlaku sekelip mata dan rumah ayah yang dibina sejak 31 tahun lalu tidak disangka musnah begitu sahaja, lebih-lebih lagi sewaktu perayaan Aidilfitri berlangsung.
"Kebakaran ini merupakan satu takdir dan saya sekeluarga sedih kerana rumah bernilai RM250,000 itu musnah,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Azmi sewaktu sesi ziarah ke rumah mangsa melahirkan rasa simpati di atas nasib malang menimpa keluarga Hamid dan Awangku Farid ketika ini.
Menurutnya, dia melalui Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai akan memperuntukkan RM10,000 bagi membantu keluarga mangsa membeli bahan-bahan binaan bagi tujuan membina rumah baharu kelak.
"Selain itu, pihak saya akan turut membantu keluarga mangsa membaik pulih sebuah pondok di hadapan rumah mangsa bagi dijadikan rumah sementara.
"Sepanjang tahun ini sahaja, sudah lima kejadian kebakaran termasuk dua klinik kesihatan dicatatkan dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik dan saya memandang serius permasalahan itu,"katanya.
Dr Noor Azmi berkata, pihaknya turut bercadang meminta kerajaan pusat menekankan kepentingan penyediaan alat pemadam api di setiap rumah penduduk di negara ini.
Menurutnya, langkah itu penting sebagai pencegahan awal bagi mengawal kebakaran di rumah masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Kepentingan penyediaan alat pemadam api juga perlu ditekankan kepada setiap pemilik kenderaan memandangkan dewasa kini, banyak kejadian kebakaran melibatkan kenderaan berakhir kemalangan jiwa kerana kegagalan pencegahan awal kebakaran.
"Dengan adanya alat pemadam api di rumah dan kereta dapat mengelak kemalangan maut akibat kebakaran," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi bersama Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan kepimpinan PAS kawasan Bagan Serai turut menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran.
Mohd Zawawi berkata, pihaknya berharap Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Daerah Kerian dapat mempertimbangkan pemberian bantuan bina rumah baharu kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban ditanggung mereka.
Sementara itu, dua jentera bomba dan penyelamat di sini dan Parit Buntar bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada 6.31 petang semalam.
Ketua Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Nasir Jalil berkata, setibanya jentera di tempat kejadian mendapati 80 peratus rumah berkenaan sudah terbakar.
"Anggota bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi kejadian disebabkan halangan jambatan ban tali air yang sempit.
"Kita menggunakan air dari ban tali air bagi memadamkan kebakaran dan mengawal kebakaran sepenuhnya pada 8 malam tadi,” katanya.