IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membayangkan bahawa Perak telah dicadangkan untuk menjadi salah satu daripada kawasan projek Aero Angkasa tidak lama lagi.
Dr Zambry berkata, projek tersebut yang antaranya termasuk pembinaan dataran stesen Aero Angkasa dijangka diwujudkan di kawasan Perak Utara berdekatan Greater Kamunting.
Menurut beliau, cadangan projek itu telah disampaikan kepada beliau dalam satu taklimat oleh sebuah universiti tempatan dan sebuah syarikat antarabangsa yang mengendalikan urusan Aero Angkasa.
Bagaimanapun, kata beliau, idea untuk menjadikan negeri Perak atau Malaysia secara amnya sebagai salah satu daripada kawasan projek Aero Angkasa masih merupakan cadangan awal.
“Kerajaan negeri hanya mendengar taklimat itu yang disampaikan oleh sebuah universiti tempatan dan saya telah mengarahkan supaya perbincangan lanjut perlu diadakan untuk melibatkan kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk meminta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjadi koordinator kepada cadangan yang dikemukakan oleh pihak universiti berkenaan.
“Kerajaan negeri menganggap cadangan ini masih terlalu awal tetapi saya ingin umumkan terlebih dahulu kerana pihak universiti awam ini mencadangkan negeri Perak menjadi tempat untuk projek ini,” ujarnya.