top of page
muinsapidin

Pelajar TIC Jayakan Majlis Korban

IPOH - Taj International College (TIC) menganjurkan Majlis Korban TIC sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1437H, yang berlangsung di pekarangan kolej itu di sini pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, pengorbanan pelajar yang masih mampu mengambil bahagian walaupun bakal menduduki peperiksaan minggu hadapan, wajar mendapat pujian.

Menurut beliau, majlis korban itu sebenarnya melibatkan tiga pihak iaitu TIC sendiri, Pertubuhan Anak Perak (PAP) dan juga media yang turun padang bersama-sama menjayakannya.

“Majlis ini pun majlis tahunan kita, tetapi kelainan sedikit tahun ini apabila semua jentera pelajar kita terlibat, daripada A hingga Z, semuanya dibuat sendiri, termasuk sembelih, melapah dan memasak,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Tina berharap, program seumpama itu dapat merapatkan lagi hubungan kerjasama antara TIC dan juga pihak-pihak lain, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di masa-masa akan datang.

Pada majlis itu, sebanyak lima ekor ternakan, masing-masing empat ekor lembu dan seekor kambing itu diuruskan sendiri oleh warga TIC.

Sempena majlis berkenaan, pihak TIC turut menyampaikan sumbangan daging korban kepada 14 wakil daripada rumah anak yatim, rumah kebajikan selain golongan ibu tunggal yang melibatkan 315 penerima.

Tina memberitahu, agihan daging korban itu juga dilaksanakan dua kali iaitu pada sebelah petang dan agihan kedua dibuat pada sebelah malam.

“Sebelah malam pula kita adakan majlis jamuan, dimulai dengan solat Maghrib berjemaah serta ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan,” ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya diizinkan Allah, pihaknya berharap agar majlis korban tahunan TIC akan lebih meriah pada tahun-tahun hadapan.


7 views0 comments
bottom of page